BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, February 9, 2012

Menyerah, tidak sama sekali !


RINDU

Ya, rindu benar rasanya untuk mengemas kini entri dan blog. Bersawang pula blog tanpa entri, bukan!

KONVO ABANG

Jangan salah sangka. Jangan salah tafsir. Bukan konvo ‘abang’ tapi abang sendiri lah! Aku, adik dan nenek setia menunggu bus di stesyen bus Sungai Petani. Demi melihat abang menerima segulung ijazah di majlis konvokesyen, semestinya menjadi hari bermakna dalam hidupnya. Kasihan abang! Ya, abah tak ikut. Namun, abah tetap wakilkan aku dan adik untuk bersama-sama di hari bahagia abang. Malam itu, kami tiba di Hentian Duta. Sabar menunggu abang menjemput kami. Sebelum bermalam di rumah bujangnya, kami singgah makan. Berhampiran dengan Kampung Baru. Oh, itulah Kampung Baru, aku bermonolog. Sedih sebenarnya, melihat nenek bersusah payah demi abang. Sebak di dada memang terasa. Sendi dan tulang di lutut nenek amat terbatas, meluluhkan rasa. Tak mampu bergerak bebas. Bergetar satu rasa entah dari mana. Tiba di rumah bujang abang, terkesimaseketika. Alangkah terharu. Keadaan sekeliling yang serbakurang. Dapar tanpa gas. Meja tanpa alas. Bilik tanpa katil. Ruang tanpa bebas. Kecil cuma. Luasnya mungkin sedepa besar daripada bilik kolejku. Itulah flat yang pernah aku duduki suatu ketika aku masih belum mengenal erti dunia. Kini, menjadi tempat berteduh sementara untuk abang yang bekerja jauh dari kampung halaman. Mungkin menjadi pendorong untuk abang menggapai cita-cita dan impian. Biarpun tidak diungkap dengan lidah, aku dapat mencerap perasaannya yang begitu kental dan tabah. Kagumi aku dalam diam. Paginya, bersiap-siap untuk ke PICC di Putrajaya. Majlis konvokesyennya di sana. Tahniah, abang. Semoga terus berjaya bukan hanya di dunia, malah akhirat juga. Tunangnya juga turut ada. Konvo pada waktu dan tempat yang sama. Sehari suntuk. Letih bukan kepalang. Seorang demi seorang ke pentas. Sabar aku menunggu nama abang disebut. Tiba akhirnya.

SENDIRI

Alahai, tiba saatnya pulang ke kampus demi kerja dan tanggungjawab. Amanah yang digalas harus dijaga. Redaksi Majalah UKM. Surat-surat. Rencana dan artikel. Temubual dan wawancara. Semuanya setia menunggu di UKM. Pulang akhirnya di kolej Ibrahim Yaakub. Meniti hari demi hari bersama gerak kerja Redaksi di kolej Aminuddin Baki. Sangat teruja sebenarnya. Minat. Seminggu lamanya. Tak sedar masa berlalu dek Redaksi dan analisis data untuk Latihan Ilmiah. Alhamdulillah, nampak progress memuaskan hati ini. Setidak-tidaknya, aku memanfaatkan cuti semester kali ini dengan jayanya, barangkali. Sebelum meniti awan ke Bandung, aku dapat siapkan beberapa tugasan. Harus komited. Belajar dan belajar perkara baharu. Bukankah, belajar itu tiada had masa, malahan hingga ke liang lahat.

REMINDER

Dalam tempoh yang begitu singkat sebelum meniti awan, jangan dilupa tugasan UKM, Dunia Inspirasiku dan Rencana Khas: Klinik Guaman UKM yang harus diselesaikan. Juga Latihan Ilmiah yang harus diteliti dari semasa ke semasa. Temubual bersama Felo Utama, Prof. Siti Naaishah Hambali, esok bersama wartawan Shima dan Dayah. Nazman dan jurufoto Ai'zat Na'im tidak ketinggalan ikut serta. semoga urusan berjalan dengan lancar. 

Diharap aku selamat pergi dan pulang meniti awan. Insya-Allah. 

Sekembali nanti, debaran result kian terlerai. 

Aduhai Pena Kiri.

0 comments: