BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, January 28, 2012

Antara Sejarah dan Masa Depan



WALIMATUL URUS

Jangan disalah takrif wahai para pembaca yang budiman sekalian.

Walimatul Urus yang ditera, bukanlah merujuk kepada Sang Penulis. Musim cuti sekolah  sempena perayaan Tahun Baru Cina sekali gus cuti semester mahasiswa/i dimanfaatkan untuk mengadakan Walimatul Urus dan majlis kesyukuran. Suasana desa di saat ini tentunya penuh dengan anak-anak kecil. Bersama ibu dan ayah masing-masing. Ibu kota makin lenggang buat seketika. Hari berganti hari, aku penuhi dengan kenduri sanak-saudara dan sahabat handai. Tumpang gembira untuk mereka. Hari bahagia mereka menjelma jua, aku? Tak mengapa, lebih baik bersabar. 

Gigih berusaha untuk menyelesaikan apa yang dicita-citakan terlebih dahulu. 

Sabar itu kan, separuh daripada iman.

LAGI-LAGI NOVEL

Semakin ghairah aku meluangkan masa senggang bersama novel-novel yang dibeli.

Baru aku sedar, novelis Norhayati Berahim mempunyai penulisan yang cukup bagus tidak kira dari segi garapan, plot, mesej yang disampaikan serta gaya bahasa yang menarik membuatkan pembaca berasa begitu dekat dengan nukilan penulis. Tidak seperti sebilangan penulis yang hanya mengetengahkan unsur cinta semata-mata, beliau jelas memaparkan mesej tertentu untuk disampaikan kepada pembaca. Penulisan beliau turut menunjukkan beliau bukan sahaja seorang penulis biasa, malahan lahirnya seorang penulis yang berilmu menerusi fakta dalam penulisan beliau.

Teringin suatu saat, one fine day, aku nekad untuk menjadi seperti beliau. Insya-Allah jika ada rezeki.

BADAI SEMALAM

Bumi mana tidak ditimpa hujan.

Setiap yang bernama manusia, tetap diduga dengan ujian yang mampu diterima hamba-Nya. Apa yang membezakan mereka ialah bagaimana cara penerimaan ujian tersebut. Aku tidak terkecuali daripada golongan yang menerima dugaan Sang Pencipta. Ya, aku redha. Walau bagaimanapun, aku tetap mencari jalan untuk menyelesaikan masalah dan bebanan yang ditanggung selagi hayat dikandung badan. Siapa yang tahu, rahsia yang bermukim di hati. Siapa yang tahu, jerih payah yang aku lalui selama hampir 6 tahun lamanya ini. Siapa yang tahu, rindu yang tersadai di dasar hati selama tempoh itu. Siapa yang tahu, badai yang melandai sangat mendewasakan diri. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Dalam tempoh 23 tahun, aku semakin kuat rupanya. Syukron, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillahi rabbil ‘Alamin.

Semoga mendapat pengakhiran yang baik, husnul khatimah.

Insya-Allah, dengan izin.

0 comments: