BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, January 28, 2012

Antara Sejarah dan Masa Depan



WALIMATUL URUS

Jangan disalah takrif wahai para pembaca yang budiman sekalian.

Walimatul Urus yang ditera, bukanlah merujuk kepada Sang Penulis. Musim cuti sekolah  sempena perayaan Tahun Baru Cina sekali gus cuti semester mahasiswa/i dimanfaatkan untuk mengadakan Walimatul Urus dan majlis kesyukuran. Suasana desa di saat ini tentunya penuh dengan anak-anak kecil. Bersama ibu dan ayah masing-masing. Ibu kota makin lenggang buat seketika. Hari berganti hari, aku penuhi dengan kenduri sanak-saudara dan sahabat handai. Tumpang gembira untuk mereka. Hari bahagia mereka menjelma jua, aku? Tak mengapa, lebih baik bersabar. 

Gigih berusaha untuk menyelesaikan apa yang dicita-citakan terlebih dahulu. 

Sabar itu kan, separuh daripada iman.

LAGI-LAGI NOVEL

Semakin ghairah aku meluangkan masa senggang bersama novel-novel yang dibeli.

Baru aku sedar, novelis Norhayati Berahim mempunyai penulisan yang cukup bagus tidak kira dari segi garapan, plot, mesej yang disampaikan serta gaya bahasa yang menarik membuatkan pembaca berasa begitu dekat dengan nukilan penulis. Tidak seperti sebilangan penulis yang hanya mengetengahkan unsur cinta semata-mata, beliau jelas memaparkan mesej tertentu untuk disampaikan kepada pembaca. Penulisan beliau turut menunjukkan beliau bukan sahaja seorang penulis biasa, malahan lahirnya seorang penulis yang berilmu menerusi fakta dalam penulisan beliau.

Teringin suatu saat, one fine day, aku nekad untuk menjadi seperti beliau. Insya-Allah jika ada rezeki.

BADAI SEMALAM

Bumi mana tidak ditimpa hujan.

Setiap yang bernama manusia, tetap diduga dengan ujian yang mampu diterima hamba-Nya. Apa yang membezakan mereka ialah bagaimana cara penerimaan ujian tersebut. Aku tidak terkecuali daripada golongan yang menerima dugaan Sang Pencipta. Ya, aku redha. Walau bagaimanapun, aku tetap mencari jalan untuk menyelesaikan masalah dan bebanan yang ditanggung selagi hayat dikandung badan. Siapa yang tahu, rahsia yang bermukim di hati. Siapa yang tahu, jerih payah yang aku lalui selama hampir 6 tahun lamanya ini. Siapa yang tahu, rindu yang tersadai di dasar hati selama tempoh itu. Siapa yang tahu, badai yang melandai sangat mendewasakan diri. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Dalam tempoh 23 tahun, aku semakin kuat rupanya. Syukron, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillahi rabbil ‘Alamin.

Semoga mendapat pengakhiran yang baik, husnul khatimah.

Insya-Allah, dengan izin.

Thursday, January 19, 2012

tinggal sejarah

Baucer Buku 1 Malaysia

Ada kelapangan antara Kertas, sempat lagi memborong buku dengan menggunakan baucer buku RM200. Beberapa novel dan buku keagamaan telah ditebus menggunakan baucer (RM100). Baucer buku masih berbaki RM100. Balik Kedah nanti, tebus di Hassani Bookstore pulak. :)

Selesai exam

Usai sudah peperiksaan semester ke-5 sebelum semester akhir menemuiku nanti. Pantas masa berlalu, detik dan ketika mencepatkan diri tanpa disedari. Lolos.
Pelbagai ceritera yang menarik perhatian aku, selaku penulis. Ya, ragam siswa dan siswi menggeletek hati, mencuit rasa. :)

Bermula dengan Kertas Psikolinguistik BM (3/1/12), agak gemuruh mungkin disebabkan Kertas pertama. Normal. Bukan sesuatu yang luar biasa. 

Kertas Sintaksis BM Lanjutan (5/1/12) membuat aku semakin gemuruh. Ini juga bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana kurangnya kefahaman boleh menggugat result CGPS dan CGPA nanti. Walau bagaimanapun, group discussion bersama Nor Amina, Acik Ija, dan Syahid di samping bertemu En. Nasrun untuk mendapatkan penjelasan dengan lebih lanjut sangat membantu aku menjawab Kertas ini. Syukur, Alhamdulillah. Hanya ucapan terima kasih mampu dititip. Moga Allah sahaja membalas semua kebaikan kalian. Jazakallah Khair.

Kertas Linguistik Sejarah BM (10/1/12) tidak dapat diduga kerasa soalan berasaskan DATA. Mungkin 'tersangkut' di bahagian Esei. Tak sempat selesaikan dengan baik.

Kertas BM dalam Media Massa (12/1/12) memberi sedikit ruang untuk berasa lega, tapi bukan lega sepenuhnya selagi result tidak berada di tangan. Tak mahu membuat kesimpulan lagi.

Kertas Persoalan & Permasalahan BM (16/1/12) juga memberikan aku harapan.

Kertas Sejarah BM (18/1/12) memusingkan kepalaku 360 darjah. Aku tak betul-betul bersedia pun untuk Kertas ini. Apa tidaknya, katil roomate yang kosong hanya mengingatkan aku tentang home sweet home sahaja walaupun tiket pun belum dibeli.


Memetik kata-kata sendiri di laman sosial Facebook, 

Kempen 'Membaca Amalan Mulia' yg menjadi fenomena 'study week & minggu exam' bakal melabuhkan tirainya. Sana sini di kampus UKM, penuh dgn siswa/i yg mengamalkan minat membaca yg begitu mendalam x kira sama ada di fakulti, PTSL, kafe, dalam bus mahupun di bilik masing2 dalam beberapa minggu ini. Amalan ini patut diteruskan dari semasa ke semasa agar melahirkan mahasiswa berilmu. :)

Aku tersenyum sendiri melihat ragam masing-masing, termasuk aku. Gaya belajar di saat-saat akhir menjadi trend biasa selaku pelajar. Bagaimana tidaknya, pelajar semua sibuk dengan aktiviti kelab dan persatuan, facebook, assignment bagai cendawan tumbuh selepas hujan, dan macam-macam hal lagi. Hanya menjelang Study Week sahajalah masa yang wajar untuk ulangkaji nota dan sebagainya.

Seperti biasa, usai melunaskan hutang semester ini (selesai Exam), Kak Faizah pasti ada meluangkan masa bersama di kafe sebelum berpisah. 

Sayang akak, bagaikan kakak sendiri. 

Mudah-mudahan, untaian ukhwah hingga ke akhir hayat, malahan ke syurga, InsyaAllah.

Latihan Industri

Dalam kekalutan dan keghairahan menduduki peperiksaan, terselit khabar gembira mengenai tempat Latihan Industri yang dipohon. Alhamdulillah, ada rezeki. Mudah-mudahan memberi semangat dan ruang untuk masa hadapan. InsyaAllah, moga Allah berkati.

Perkampungan Sidang Redaksi Majalah Universiti

Sepatutnya aku berkampung di KIY untuk redaksi sepanjang cuti semester. Apakan daya, bersalah rasanya kalau tak balik home sweet home dahulu, mohon restu sebelum MENITI AWAN ke Bandung 12/2/2012 nanti. Apa salahnya, jenguk kampung halaman dan orang tua tersayang, itu pasti.

Latihan Ilmiah 

Kononnya, ingin siapkan Latihan Ilmiah di kampus sahaja. Lebih dekat membuat rujukan di Perpusatakaan Tun Sri Lanang (PTSL) UKM tercinta ini. Tak jugak. Alasannya, home sweet home lah. Tak Mengapa PTSL, jangan risau UKM, pulangnya tak lama, seminggu dua setelah melampias rindu di kampung, aku kembali ke sini home sweet home II :)


Semakin menghampiri

Rentetan dengan surat jawapan Latihan Industri daripada UTUSAN PUBLICATION SDN BHD, harapannya agar aku diberi peluang menggapai cita-cita dan impian menerusi pengalaman yang bakal dikutip. Selain menjadi seorang pendidik, ada sebuah cita-cita atau minat yang aku impikan selama ini, iaitu berkecimpung dalam dunia penulisan. Ada rezeki, insyaALLAH. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Bukankah usaha itu tangga kejayaan?

Saturday, December 31, 2011

Menutup Jendela 2011 Selamat Datang 2012

TAHUN BARU

Tinggal beberapa jam sahaja lagi aku dan juga kalian bakal menutup tirai 2011 sekali gus selamat datang 2012. Aku cuba menoleh 22 tahun ke belakang untuk melihat liku-liku hidup yang telah aku lalui sepanjang tempoh itu. Nikmat. Suka. Duka. Pahit. Manis. Dugaan. Kejayaan. Kegagalan. Semuanya aku lalui dan aku anggap sebagai proses kematangan diri. Sejarah biar tinggal sejarah. Sejarah 2012 pula menyusul.

AZAM

Tidak seperti kebanyakan yang lain, aku hanya memperbaharui azam tahun-tahun lepas yang masih belum berbayar. Aku percaya setiap manusia normal pasti menyimpan azam dalam diri masing-masing. Pokok pangkalnya, azam ingin berubah menjadi lebih baik dari yang sebelumnya. Itu pasti. Maka, cukup sekadar memperbaharui azam lama di samping sedikit calitan baru untuk ke satu lagi fasa dalam hidup.

HADIAH YANG BERNILAI

Sempena melangkah ke 2012, hadiah yang cukup bermakna telah aku perolehi. Tiada tandingan ukurya. Luar biasa nilainya. Bagai bayi yang baru dilahirkan, aku pecahkan tempoh keegoanku untuk mendapatkan ‘hadiah yang cukup bererti’ itu. Aku percaya, tidak semua diberikan kekuatan untuk melakukannya. Terima kasih, Allah. Bagai disuluh cahaya disulam pelangi petang setelah menghadapi badai semalam. Terasa kerdil diri ini melihat keesaan Ya Rabbul Izzati. Semoga tahun-tahun yang bakal ditempuh menguatkan lagi jasad dan rohani, insyaAllah.

***

KELUARGA BAHAGIA

Sedamai taman firdausi
Limpahan kasih sayang sejati
Seharum semerbak kasturi
Mengharumi hidup insani

Indahnya damainya
Keluarga yang bahagia
Itulah idaman impian setiap insan
Yang dahagakan belaian
Serta kasih dan syaang

Ketika insan lain berbahagia
Bersama keluarga
Namun kita masih meniti
Titian rapuh perhubungan

Mengapa kita terpisah daripada rahmatNya
Mungkinkah kita seringkali melupakanNya
Ayuhlah bina semula
Keluarga diredhai Allah

Oh ayah oh ibu dengarlah rintihan
Dan luahan hatiku yang dahaga kasih
Jiwaku merasa terseksa ketandusan kasihmu
Marilah kita bina bersama-sama
Keluarga bahagia

Ayah ibu
Luangkanlah sedikit masa bersamaku
Ku rindukan kemesraan
Dan belaianmu

_________________________________________________________________________________


AYAH

Ketika berjauhan
Masihku rasa hangat kasihmu ayah
Betapaku rindukan redup wajahmu
Hadir menemaniku
Terbayang ketenangan
Yang selalu kau pamerkan
Bagaikan tiada keresahan
Walau hatimu sering terluka
Tika diriku terlanjur kata
Tak pernah sekali kau tinggalkan
Diriku sendirian
Ketika ku dalam kedukaan
Kau mendakap penuh pengertian
Di saat diriku kehampaan
Kau setia mengajarku
Erti kekuatan
Terpancar kebanggaan
Dalam senyummu
Melihatku berjaya
Bilaku kegagalan
Tak kau biarkan
Aku terus kecewa
Dengan kata azimat
Engkau nyalakan semangat
Restu dan doa kau iringkan
Terbayang ketenangan
Yang selalu kau pamerkan
Bagaikan tiada keresahan
Tak dapatku bayangkan
Hidupku ayah
Tanpa engkau di sisi
Semua kasih sayang
Yang kau curahkan
Tersemat di hati


ANAK SOLEH

Kami anak-anakmu
Ingin memohon restu
Wahai ibuku wahai ayahku
Ampunkan dosa-dosaku
Wahai ibuku wahai ayahku
Redhakan akan diriku
Ku hulurkan salam
Untuk Rasul Junjungan
Moga disyafaatkan
Ya Allahu Ya Rabbi
Ya Fattahu Ya ‘Alim
Ya Rahmanu Ya Rahim
Wahai Tuhanku
Kasihi daku
Kasih ibu dan ayahku
Wahai tuhanku rahmati daku
Rahmati ibu dan ayahku
Selamatkan mereka dari azab neraka
Dan bencana dunia
Hubungkan mereka dengan talimu
Amin ya rabbal alamin
Ku hulurkan salam
Untuk Rasul Junjungan
Moga disyafaatkan
Ya Allahu Ya Rabbi
Ya Fattahu Ya ‘Alim
Ya Rahmanu Ya Rahim
Wahai Tuhan limpahkan hidayahMu
Untuk ayah dan ibuku
Wahai Tuhanku
Berkati daku
Berkati ibu ayahku
Sayangilah mereka sepertimana
Mereka menyanyangiku
Dan mengasihiku waktu kecilku
Tak terbalas budi jasanya
Ku hulurkan salam
Untuk Rasul Junjungan
Moga disyafaatkan
Ya Allahu Ya Rabbi
Ya Fattahu Ya ‘Alim
Ya Rahmanu Ya Rahim
Wahai ibuku wahai ayahku
Didiklah anak-anakmu
Moga menjadi penyejuk di mata
Penawar resah hatimu
Ampunkan segala keterlanjuranku
Halalkan makan minumku
Doakan semoga aku selamat
Dunia dan di akhirat
Ku hulurkan salam
Untuk Rasul Junjungan
Moga disyafaatkan
Ya Allahu Ya Rabbi
Ya Fattahu Ya ‘Alim
Ya Rahmanu Ya Rahim


BUATMU IBU
Ibu bergenang air mataku
Terbayang wajahmu yang redup sayu
Kudusnya kasih yang engkau hamparkan
Bagaikan laut yang tak bertepian
Biarpun kepahitan telah engkau rasakan
Tak pula kau merasa jemu
Mengasuh dan mendidik kami semua anakmu
Dari kecil hingga dewasa
Hidupmu kau korbankan
Biarpun dirimu yang telah terkorban
Tak dapat kubalasi akan semua ini
Semoga Tuhan memberkati kehidupanmu ibu
Ibu kau ampunilah dosaku
Andainya pernah menghiris hatimu
Restumu yang amatlah aku harapkan
Kerana disitu letak syurgaku
Tabahnya melayani kenakalan anakmu
Mengajarku erti kesabaran
Kau bagai pelita di kala aku kegelapan
Menyuluh jalan kehidupan
Kasihanilah Tuhan ibu yang telah melahirkan diriku
Bagaikan kasih ibu sewaktu kecilku
Moga bahgia ibu di dunia dan di akhirat sana…
Kasih sayangmu sungguh bernilai
Itulah harta yang engkau berikan
Ibu… dengarlah rintih hatiku untukmu ibu

***
TETAP MERINDUI

Melihat 22 tahun yang lalu, pasti aku merinduimu, mama. Semoga dikau tenang di alam sana. Bagaimana aku lupa permata dalam hidupku. Tanpa dia, tiada aku di dunia ini. Aku berjaya menjejakkan kaki ke menara gading tatkala dikau terlalu ingin melihat aku di sini. Ya, aku berjaya mencari peta dan jalan untuk ke sini akhirnya, walaupun pada saat ini, kau telah tiada untuk melihat. Aku bersyukur, kini bagiku cukuplah sekadar aku berjaya menunaikan harapanmu, tak lebih dari ku pinta. Siapa aku untuk menolak Qada’ dan Qadar Dia Yang Maha Berkuasa di atas segala. Sesungguhnya, dia Maha Mengetahui ke atas hamba-hambaNya.

BAKI HIDUP DI KAMPUS UKM

1 semester yang bersisa bermula awal 2012 akan kumanfaatkan. P & P di dewan kuliah dan kelas. Tugasan yang diberikan. Latihan Ilmiah yang perlu diselesaikan. Pensyarah yang tak jemu-jemu mencurahkan ilmu. Teman rapat yang memberi sokongan padu (terima kasih sahabat). Ungkapan terima kasih itu masih tidak memadai berbanding kehadiran kalian dan memori yang dititipkan.

“Terima kasih semuanya yang hadir dalam hidupku.”

Tuesday, December 27, 2011

lakaran


Aku meniti hari-hari yang begitu indah. Aku meniti hari-hari yang begitu sukar. Aku meniti hari-hari dengan penuh daya kuatnya tanpa menoleh. Sesekali menoleh, aku begitu merindui saat yang aku pernah lalui.

Bagai tidak percaya, menampar sepasang pipi. Begitu pantas masa berlalu. Begitu cepat usia meningkat.

Bagai tidak percaya, mengeluh sendiri. Aku telah melalui dunia kampus yang diidam-idamkan sejak bangku sekolah.

Teringat aku pada En. Pensyarah yang bukan sahaja ambil berat, mesra juga. Bagai tiada jurang. Pengalaman yang sukar dinyahcaskan dari fikiran. Camping. Tracking. Rindu benar pada simulasi di hutan, bukit dan gunung. Rindu benar pada simulasi di pulau itu. Rindu benar istilah-istilah ikatan tali. Rindu benar segala-galanya. Apabila menjengah di minda, tentu tersenyum.

Teringat pula pada Dr. Shahidi, begitu mengambil berat tentang anak didiknya. Teringat lagi pada En. Nasrun, begitu teliti orangnya. Ingatan menjengah kepada Dr. Maslida, menyerlah sifat keibuannya biarpun  tampak garang. Ingatan meluru ke arah Dr. Karim, yang begitu penyabar orangnya. Prof. Zul dan Prof Dr. Ajid pula bagaikan ayah mendidik anak-anaknya. Prof. Dr. Rahim pula tidak jemu-jemu menunjuk jalan buat kami mengatur langkah dan haluan hidup. Tak lupa pada Cik Kartini yang menyinari hari-hari di kampus UKM. Semuanya aku sayang. Semuanya aku hargai. Itulah dunia p & p aku.

Terlakar sejarah aku dan kamu. Terukir memori sahabat dan aku. Tersurat persahabatan kita semua. Semuanya aku sayang. Semuanya aku hargai. Itulah dunia warna-warni aku.

Sahabat, untuk selamanya.

Kau dan aku sahabat, untuk selamanya.

PENA KIRI 
27.12.2012
KOLEJ AMINUDDIN BAKI

Sunday, December 25, 2011

Airis Dania Arissa


Airis Dania Arissa, nama secomel wajah. Wajah suci anak kecil ini adalah anak mak saudara (adik ayah yang ke-8) yang ke-2 selepas Adan Danny Ana'qi. Maaf tak dapat pulang lagi untuk melihat bayi kecil ini. Kekangan masa benar-benar mencipta halangan untuk aku untuk pulang melihat. Alangkah sedih.

Hati teringat tapi tak dapat berbuat apa-apa dek kisah lalu. Aku ingin membawa diri untuk 'belajar' mengenal diri sendiri menjadi lebih dewasa. Aku di sini cuba bertapak di atas diri sendiri tanpa pergantungan kepada orang lain. Aku ingin buktikan. Diam aku bukan bermakna lupa. Walhal. diamku memberi mesej kepada di sana, untuk memahami jiwa anak yang begitu halus perasaannya. Malangnya, tak memahami rupanya. Tinggallah sendiri bersama lara nestapa yang bertandang di jiwa. Tawa yang terukir di bibir demi teman sekeliling sekali sekala memujuk hatiku sendiri. Harap teman-temanku benar-benar sahabat yang berada di waktu senang, di kala susah, menjadi penasihat di kala aku mengatur langkah pada jalan yang salah. Terima Kasih teman. Terima Kasih Sahabat. 

Maaf buat teman.Maaf buat sahabat andai diri ini tidak sempurna membuat hati dan jiwa kalian kurang enak atau terguris sanubari.

Sesekali rindu terasa. Sesekali tersiksa jiwa mengingatkan peristiwa itu. Aku bagai tidak memberi manfaat, maka aku tidak bercadang menambah beban mereka. Aku nekad. Sesekali aku tewas lagi, rindu tetap bermukim di hati. 

Mama, rindu benar kepada bait kata-kata nasihatmu itu. Mama, rindu benar kepada 'ambil berat'mu terhadap anakmu ini. Kini, tiada lagi bait-bait tersebut; tiada lagi orang yang benar-benar 'ambil berat' tentang diri ini. Teman-teman di sini sesekali menjadi tempat mengadu, melampias rasa yang terpendam. 

Oh, begitu menusuk kalbuku, ini.

Semoga dikau beradu damai di alam sana. Hanya doa dan ayat-ayat suci mampu kutitipkan.

Argh, begitu pedih sang hati menzahirkan rasa.

Cukup-cukuplah wahai sang hati.

Ingatlah Ya Rabbul Izzati sentiasa ada untuk hamba-hambanNya yang mengingati. 
Sesungguhnya, Engkaulah sebenar-benar tempat mengaduku.

Thursday, December 22, 2011

memori tercipta

Terasa baru rasanya penulis melangkah ke menara gading, rupanya hanya tinggal 1 semester lagi bakal mengisi ruang hidup penulis sebelum melangkah ke satu tahap lagi dalam tingkat hidup penulis. Majlis Penghargaan Redaksi Majalah UKM 33 & 34 benar2 terkesan di jiwa penulis sepanjang penglibatan dalam sidang redaksi. Itulah antara warna2 yang mencantikkan kehidupan penulis sebagai siswi UKM. Sayang rasanya untuk meninggalkan bumi di mana tempat penulis menuntut ilmu, mencorak pengalaman, melahirkan keyakinan, mendapat teman2 seperjuangan, membina keazaman dan impian.
Apa yang pasti, penulis menyemat kukuh cebisan2 kenangan dan memori yang tercipta dalam ingatan jangka panjang @ kamus mental penulis. Sidang Redaksi Majalah yang penulis sertai untuk edisi 33 & 35 membakar semangat penulis untuk berkecimpung dalam dunia penulisan, atas izinNYA.InsyaAllah.Mudah2an...

Berakhir sudah semester 5. Hanya menunggu tiba saatnya peperiksaan yang menguji.Hanya tinggal 1 semester sahaja lagi sebelum bergraduasi.Oh, Tidak.Bagaikan bermimpi.

Monday, December 19, 2011

perisai buat wanita

 17 Disember 11
Program Perisai BUAT Wanita

Penulis berasa amat bertuah kerana dapat menghadiri program yang begitu bermakna dalam meniti arus dan gelombang era kini yang begitu mengancam wanita khususnya.Banyak input positif yang dapat dikutip sepanjang program berlangsung sehari suntuk.Antaranya, 'filter' yang harus dikenal pasti untuk mengecam jenis 'Lelaki Perosak' dan bagaimana untuk mengawal atau mengatasi lelaki jenis ini. Banyak slot yang disulami contoh-contoh situasi menerusi lakonan peserta pilihan bersama Fahrin Ahmad mencantikkan lagi variasi program ini. Walau bagaimanapun, penulis tidak bercadang untuk berkongsi dengan lebih lanjut mengenai isi-isi di dalamnya. 

Dah nama pun program PERISAI wanita, maksudnya tak lagi menjadi PERISAI kalau diwar-warkan kepada umum.

Fahrin Ahmad ketika menandatangani sijil program yang diadakan di DTAMS, UKM