BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, December 22, 2012

Tak tahu berapa kali akan...


Jangka masa pendek --> selepas rumah pertama, giliran rumah kedua sementara mendapat bilik sewa yang tetap untuk jangka masa sederhana dan panjang. Ujian Allah untuk memberikan yang terbaik.
Nampaknya, aku terpaksa menumpang sewa di rumah Kak Ida sementara mendapat rumah atau bilik sewa yang sesuai. Alhamdulillah, Allah menghantar 'bidadari dunia' untuk membantu aku yang kesulitan. Beliau sebetulnya tidak berhasrat untuk menyewakan bilik, namun perasaan ehsan telah membuka hatinya untuk membantu diriku ini. Semoga segala urusanku dipermudahkan Allah. Insyaa Allah. Amin.

Oh my Budaya!

Untuk hari ke-2, aku dan yang lain diberi 'briefing' berkenaan Kokurikulum para pelajar dan persembahan daripada guru, khususnya guru baru untuk dipresentasikan pada malam ini. Oh my budaya! Sewaktu aku mengajar di Permata Minda, aku selalu 'membebel' kepada anak murid yang suka sangat dengan fenomena Gangnam Style. Aku cakap tarian itu bukan budaya Melayu dan bla bla bla. Malang nasibku, aku adalah antara 'insan terpilih' yang tergolong untuk menarikan tarian tersebut pada majlis makan malam dan persembahan. Oh my budaya! Kini, aku tergolong dalam kalangan "insan yang cakap tidak serupa bikin". Opss@ ini ada satu keterpaksaan, bukan penerimaan. Walau bagaimanapun, semasa persembahan tersebut berlangsung, aku ke surau untuk menunaikan solat magrib. Jadi, I'm save!

Dapat mesej yang ditunggu dari Kak Ida. Katanya, boleh tengok rumah petang nanti. Alamak, dinner di sekolah petang ni. Usai majlis berlangsung, aku bergegas ke blok M9 seperti yang dijanji untuk melihat rumah. Alhamdulillah, selesai satu urusan :)

Thursday, December 20, 2012

pengalaman adalah guru terbaik

20/12/2012

Hari ini merupakan hari pertama aku lapor diri sebagai seorang guru salah sebuah sekolah swasta(menengah rendah) di Hulu Langat untuk subjek Sejarah dan Bahasa Melayu. Aku dikehendaki mengajar subjek Bahasa Melayu untuk Tingkatan 2 dan Sejarah untuk Tingkatan 1 serta guru kelas 1 Passion. Aku perlu  banyak bertanya dan belajar.

Banyak dugaan yang aku tempuh untuk mendapatkan kerja di situ termasuklah berkenaan rumah sewa. Aku begitu terdesak menyebabkan aku terpaksa menumpang di apartmen seorang staf sekolah (janda beranak dua)disebabkan ketiadaan tempat berlindung. Sementara itu, aku terpaksa tebalkan muka, bertanya guru-guru senior tentang rumah atau bilik untuk disewa. Allah tidak akan menduga hamba yang tidak mampu melalui ujian-Nya. Jadi, aku diuji lagi dengan respon dingin beberapa guru-guru bujang terutamanya, di situ. Walau bagaimanapun, aku berkenalan dengan empat orang guru yang juga baharu di sekolah yang aku bakal mengajar. Tidaklah aku terlalu kekok.

Aku tiada masalah dengan tempat tinggal staf sekolah yang aku tumpang, tetapi apa yang membuat aku bingung adalah kedua-dua anak lelakinya, masing-masing berusia 10 dan 11 tahun. Aku perlu fikirkan jangka masa. Anak-anaknya makin membesar. Anak lelaki. Aku akan mengalami masalah di kemudian hari, khususnya bab mahram dan sebagainya. Aku perlu menjaga hati banyak pihak, lebih-lebih lagi staf tersebut yang sanggup tumpangkan rumahnya. Dalam masa yang sama, aku perlu fikirkan tentang jangka masa panjang. Aku hargai bantuannya. Tapi, aku perlu fikirkan sesuatu yang lebih dari itu. Jadi, dengan kudrat yang ada, selepas tamat sesi lapor diri dan mesyuarat, aku nekad mencari tempat lain untuk berteduh. Aku mencari walaupun penat di sekolah belum hilang.


Pertemuan

Hinggalah kakiku berhenti di suatu tempat. Pertemuan tidak diduga dengan seorang kerani apartmen, Kak Siti menemukan aku dengan beberapa hamba Allah untuk membantuku. Tentu anda terkesan sekiranya anda berada di tempatku. Bayangkan, kesilapan yang dilakukan oleh Kak Siti memberi maklumat rumah yang kononnya dikatakan sudah kosong, sebenarnya milik keluarga ustaz dan ustazah yang mengajar tahfiz di salah sebuah sekolah agama swasta. Selepas ketuk pintu rumah berkenaan beberapa kali, seorang 'ibu' yang berusia 50-an membuka pintu. Selepas aku menceritakan segala masalahku berkenaan sewaan, dia menjemputku masuk ke rumah sementara menunggu anak menantunya pulang dari sekolah tahfiz. Anda tidak dapat rasakan apa yang saya rasa. Saya keseorangan di tempat orang, tersepit bahkan memerlukan bantuan. Usai menjamah roti dan air yang dihidang, ustaz dan ustazah yang berpurdah itu membawaku berjumpa dengan seorang jiran yang dipanggil Abuya oleh jiran setempat. Sekali lagi, Allah menemukan aku dengan seorang yang 'alim. Apakah hikmah di sebalik semua ini? Dengan menemukan aku dengan beberapa orang 'alim, terdetik sesuatu yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Nur di wajah mereka memberi ketenangan untuk dipandang. Aku berasa segan berhadapan dengan orang 'alim seperti mereka. Abuya sedaya upaya membantuku mencari rumah atau bilik untuk disewa melalui beberapa kenalan melalui panggilan telefon. Bayangkan, begitu ramai Allah hantarkan hambanya untuk membantu menyelesaikan kesulitan yang aku alami. Sehinggalah Abuya memberi nombor telefon seorang akauntan bujang, Kak Ida untuk aku tanyakan berkenaan sewa bilik. Khamis, malam Jumaat. Kebetulan, ada tahlil dan bacaan Yasin. Usai solat Isyak di surau bersebelahan apartmen, aku bertemu empat mata dengan Kak Ida. Ujian sekali lagi. Insyaa Allah, beliau setuju untuk menumpang di rumahnya, sementara mencari bilik kosong lain untuk disewa. Bukannya Kak Ida tak mahu sewakan bilik, tetapi atas sebab ibunya lazim ke rumah membuat beliau berfikir dua kali untuk sewakan bilik untukku. Aku tidak rasakan ia menjadi masalah kepadaku. Mungkin pada pandangannya, banyak benda perlu difikirkan. Aku faham. Terharu aku, sementara waktu ini, beliau sanggup untuk sewakan bilik untuk aku. Terkesan di sanubari, apabila telinga aku menangkap kata-kata Abuya kepada Kak Ida, "kita tolong orang yang dalam kesusahan, mudah-mudahan Allah tolong permudahkan urusan kita, insyaa Allah." Jujur, aku terkesan dengan bait-bait yang dituturkan oleh Abuya. Bergenang air mata aku. Tidak terniat untuk aku susahkan mereka. Keadaan yang mendesak. Antara sedar atau tidak, Allah menguji aku. Dalam masa yang sama, Allah ingin menunjukkan aku sesuatu. Pertemuan dengan insan-insan yang sebutkan di atas, bagai dihantar untuk mempermudahkan urusanku. Hikmah yang sangat 'dalam' yang perlu digali serta difahami. Aku bersyukur pada-Mu Ya Rabbul 'Izzati. Bergenang air mata tidak tertahan.

Bukannya aku tidak boleh mencari rumah lain, namun aku seakan 'patah kaki' di perantauan tanpa sebarang pengangkutan. Sementara membina kerjaya dan kestabilan ekonomi, aku terpaksa banyak berkorban tanpa keluhan, sebenarnya.

Rumusannya, aku menunggu masa yang sesuai untuk memaklumkan kepada staf sekolah yang aku tumpang rumahnya. Aku perlukan masa dan menyusun kata-kata yang tidak mengguris perasaan mana-mana pihak. Jadi, tindakan aku sekarang ialah tidur kerana esok aku perlu ke sekolah untuk 'briefing' dan 'meeting' untuk hari yang ke-2. Semoga Allah tunjukkan jalan buat hamba yang hina.

Thursday, June 28, 2012

Genap 3 Tahun di sini

28 Jun 2012 merupakan tarikh keramatku sebagai mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia kerana genap sudah 3 tahun pengajian aku di sini. Dalam erti kata lain, aku telah melunaskan tanggungjawabku sebagai seorang pelajar di kampus. Alhamdulillah.

Sebak rasanya melalui detik perpisahan ini. Penghargaan dan rasa terhutang budi yang sesungguhnya tidak dapat dilahirkan dengan sempurnanya dalam beberapa baris ucapan di sini buat pensyarah2, senior2, junior2 dan sahabat2ku sepanjang 3 tahun pengajian ( Dak2 BM thn 3 (2009-2012) ). Hanya Allah sahaja mampu membalasnya. Buat Sufi Ukm, Nor Asiah Ahmad, & Iyda Zynnrah, terima kasih tidah terhingga kerana menjadi 'roomate' yang begitu budiman dan setiakawan. Tidak lupa kak Faizah Baharom yang banyak bersabar dengan karenah adikmu, ini. Terima Kasih. Sayang semuanya.


merakamkan kenangan terakhir

bersalam-salaman sebelum berpisah jauh

sahabat 1 kolej dari kiri: Asyila, Ghafar, Ana, aku, Azie

dari kiri: Sham, Ghafar, Azli

dari kiri: aku, Asyila, Dila, Ana, Azie, kak Faizah

wajah ceria selepas melunaskan tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa (DTAMS, UKM)

dari kiri: Ana, Puda, Asyila, aku

semua ada kecuali Syahid

bersama seorang sahabat sejati

kenangan bersama

sebuah famili besar Pengajian BM

kenangan bersama dari kiri: Ziela, aku, kak Faizah, Shasita

Genap 3 Tahun di bumi UKM

kecuali Syahid, bersalam-salaman bersama kosmate buat kali terakhir 
dari kiri: Sham, Ghafar, Azli

dari kiri: aku, Asyila, Ana, Azie, kak Faizah

merakamkan kenangan terakhir selepas berhempas-pulas mencoret jawapan peperiksaan terakhir

bersama kosmate sekolej (KKM) dari kiri: Asyila,Ghafar, Ana, aku, Azie

ceria selepas melunaskan tanggungjawab sebagai pelajar UKM








Tuesday, June 12, 2012

I'll miss u

Hampir sebulan aku di Kedah sepanjang study week. Bukan study sangat pun, tapi berkenduri-kendara sana sini. Abang saya pun dah selamat diijabkabulkan 25 Mei yang lalu. Walimatul urus belah pengantin perempuan di Bangi, 26 Mei dan terus balik Kedah untuk persiapan majlis belah abang. Alhamdulillah, selesai semuanya pada 2 Jun lalu. Bab mengusik si adik tengah ni, tak payah cerita. Seronok benar makcik-makcik, saudara-mara semua bahankan aku. Paling best, mak lang dan pak lang nak buat kenduri sekali dengan Angah. Angah tak apa la, dah ada calon. So, jalan la dulu. Aku nak tunggu kerja dan cari duit poket dulu, setahun dua. Lagi pula, kenduri abang baru selesai, semestinya banyak duit dah habis melabur. Maka, aku harus bersabar, plus cari duit lebih bantu famili. Baru kena tindakan ni, bukan! Study week kat rumah, bukan study mana pun.  19 Jun dah nak balik Bangi, makna kata selepas exam 21-28 Jun, ambik buku log dan boring bagai kat HEJIM dan Bahagian Pengurusan Akademik kat Cancelori. Then, backpacking untuk ke rumah sewa dan langkah baru untuk latihan industri. Makna kata, Assalamualaikum dan jumpa lagi di majlis konvo bulan 10 nanti, wahai UKM tercinta. I’ll miss u.
Dan untuk ‘dia’, semoga berjumpa lagi. Di mana dan bila, itu tidak pasti. Masa pasti menentukannya. Ada jodoh, mesti bersua kembali. Perancangan Allah Maha Hebat, itu pasti.

Monday, May 14, 2012

titian akhir di kampus


Lama rasanya aku tak mengemas kini entri blog. Al maklumlah, semestinya aku sibuk memandangkan kini semakin meniti hari-hari terakhir di bumi UKM. Latihan Ilmiah yang perlu disiapkan menuntut kesabaran dan daya usaha yang tinggi.

Novel & majalah
Baru-baru ini, aku berkesempatan untuk singgah ke PWTC. Amat seronok memborong majalah dan novel sempena Pesta Buku 2012 yang diadakan secara besar-besaran. Di samping penggemar ilmu mendapatkan apa yang diinginkan dengan harga yang sangat berpatutan, dapat juga memberi peluang kepada peminat untuk bertemu empat mata dengan idola masing-masing. Aku sempat bertemu dengan Damya Hana, Ramlee Awang Mursyid dan paling aku gemari, Norhayati Berahim. Sempat juga aku bergambar dengan beliau. Dengan adanya peluang sebegini, ini memberi ruang dan nafas baru untuk memartabatkan para penulis dan karyawan yang sebelum ini bagaikan dipinggir. Bukan hanya menyanjung artis dan penghibur semata-mata. Berbalik kepada Pesta Buku yang diadakan baru-baru ini, tahniah diucapkan kepada semua pihak yang melaksanakan pesta berkenaan dengan jayanya tidak kira pihak yang terlibat secara langsung mahupun masyarakat yang turut memberi sokongan padu.


Ekspo
Ekspo 3rd Mom & Baby Expo 2012 at Mid Valley kembali lagi pada 11, 12 dan 13 Mei 2012. Seperti biasa, aku sanggup mengabaikan dinner Pusat Pengajian/ Jabatan yang memerlukan bayaran Ringgit Malaysia 70 demi bersama-sama ekspo tersebut.  Hidup mesti ada ‘kos lepas’. Terpaksa memilih yang lebih prioriti dan membuat pilihan tepat. Itulah prinsip hidup aku. Apa yang lebih penting perlu diutamakan terlebih dahulu. Bermula set up barangan ekspo pada 10 Mei, berakhir 14 Mei membuatkan tubuh badan begitu penat. 4 hari berturut-turut membuatkan tulang-tulang dan sendi-sendi merayu-rayu memohon istirahat secukupnya. Pengalaman yang menyeronokkan walaupun keletihan yang teramat. Tak mengapa, mudah-mudahan ada back up bajet untuk deposit dan sewa bilik semasa menjalankan Latihan Industri di Cheras, nanti. Insya-Allah. Dengan izin-Nya. Bukankah, bersakit-sakit dahulu untuk bersenang-senang di kemudian hari. Benarlah petua dan prinsip tersebut.

Walimatul Urus
Tumpang gembira mendengar khabar baik dari salah seorang sahabat dalam kos pengajianku yang bakal mendirikan masjid tak lama lagi. Tahniah dan tahniah sekali lagi. Semoga kekal bahagia hingga ke Jannah. Insya-Allah. Aku? Masih lagi setia menanti Allah kirimkan Imam untukku. J