BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, December 22, 2012

Tak tahu berapa kali akan...


Jangka masa pendek --> selepas rumah pertama, giliran rumah kedua sementara mendapat bilik sewa yang tetap untuk jangka masa sederhana dan panjang. Ujian Allah untuk memberikan yang terbaik.
Nampaknya, aku terpaksa menumpang sewa di rumah Kak Ida sementara mendapat rumah atau bilik sewa yang sesuai. Alhamdulillah, Allah menghantar 'bidadari dunia' untuk membantu aku yang kesulitan. Beliau sebetulnya tidak berhasrat untuk menyewakan bilik, namun perasaan ehsan telah membuka hatinya untuk membantu diriku ini. Semoga segala urusanku dipermudahkan Allah. Insyaa Allah. Amin.

Oh my Budaya!

Untuk hari ke-2, aku dan yang lain diberi 'briefing' berkenaan Kokurikulum para pelajar dan persembahan daripada guru, khususnya guru baru untuk dipresentasikan pada malam ini. Oh my budaya! Sewaktu aku mengajar di Permata Minda, aku selalu 'membebel' kepada anak murid yang suka sangat dengan fenomena Gangnam Style. Aku cakap tarian itu bukan budaya Melayu dan bla bla bla. Malang nasibku, aku adalah antara 'insan terpilih' yang tergolong untuk menarikan tarian tersebut pada majlis makan malam dan persembahan. Oh my budaya! Kini, aku tergolong dalam kalangan "insan yang cakap tidak serupa bikin". Opss@ ini ada satu keterpaksaan, bukan penerimaan. Walau bagaimanapun, semasa persembahan tersebut berlangsung, aku ke surau untuk menunaikan solat magrib. Jadi, I'm save!

Dapat mesej yang ditunggu dari Kak Ida. Katanya, boleh tengok rumah petang nanti. Alamak, dinner di sekolah petang ni. Usai majlis berlangsung, aku bergegas ke blok M9 seperti yang dijanji untuk melihat rumah. Alhamdulillah, selesai satu urusan :)

Thursday, December 20, 2012

pengalaman adalah guru terbaik

20/12/2012

Hari ini merupakan hari pertama aku lapor diri sebagai seorang guru salah sebuah sekolah swasta(menengah rendah) di Hulu Langat untuk subjek Sejarah dan Bahasa Melayu. Aku dikehendaki mengajar subjek Bahasa Melayu untuk Tingkatan 2 dan Sejarah untuk Tingkatan 1 serta guru kelas 1 Passion. Aku perlu  banyak bertanya dan belajar.

Banyak dugaan yang aku tempuh untuk mendapatkan kerja di situ termasuklah berkenaan rumah sewa. Aku begitu terdesak menyebabkan aku terpaksa menumpang di apartmen seorang staf sekolah (janda beranak dua)disebabkan ketiadaan tempat berlindung. Sementara itu, aku terpaksa tebalkan muka, bertanya guru-guru senior tentang rumah atau bilik untuk disewa. Allah tidak akan menduga hamba yang tidak mampu melalui ujian-Nya. Jadi, aku diuji lagi dengan respon dingin beberapa guru-guru bujang terutamanya, di situ. Walau bagaimanapun, aku berkenalan dengan empat orang guru yang juga baharu di sekolah yang aku bakal mengajar. Tidaklah aku terlalu kekok.

Aku tiada masalah dengan tempat tinggal staf sekolah yang aku tumpang, tetapi apa yang membuat aku bingung adalah kedua-dua anak lelakinya, masing-masing berusia 10 dan 11 tahun. Aku perlu fikirkan jangka masa. Anak-anaknya makin membesar. Anak lelaki. Aku akan mengalami masalah di kemudian hari, khususnya bab mahram dan sebagainya. Aku perlu menjaga hati banyak pihak, lebih-lebih lagi staf tersebut yang sanggup tumpangkan rumahnya. Dalam masa yang sama, aku perlu fikirkan tentang jangka masa panjang. Aku hargai bantuannya. Tapi, aku perlu fikirkan sesuatu yang lebih dari itu. Jadi, dengan kudrat yang ada, selepas tamat sesi lapor diri dan mesyuarat, aku nekad mencari tempat lain untuk berteduh. Aku mencari walaupun penat di sekolah belum hilang.


Pertemuan

Hinggalah kakiku berhenti di suatu tempat. Pertemuan tidak diduga dengan seorang kerani apartmen, Kak Siti menemukan aku dengan beberapa hamba Allah untuk membantuku. Tentu anda terkesan sekiranya anda berada di tempatku. Bayangkan, kesilapan yang dilakukan oleh Kak Siti memberi maklumat rumah yang kononnya dikatakan sudah kosong, sebenarnya milik keluarga ustaz dan ustazah yang mengajar tahfiz di salah sebuah sekolah agama swasta. Selepas ketuk pintu rumah berkenaan beberapa kali, seorang 'ibu' yang berusia 50-an membuka pintu. Selepas aku menceritakan segala masalahku berkenaan sewaan, dia menjemputku masuk ke rumah sementara menunggu anak menantunya pulang dari sekolah tahfiz. Anda tidak dapat rasakan apa yang saya rasa. Saya keseorangan di tempat orang, tersepit bahkan memerlukan bantuan. Usai menjamah roti dan air yang dihidang, ustaz dan ustazah yang berpurdah itu membawaku berjumpa dengan seorang jiran yang dipanggil Abuya oleh jiran setempat. Sekali lagi, Allah menemukan aku dengan seorang yang 'alim. Apakah hikmah di sebalik semua ini? Dengan menemukan aku dengan beberapa orang 'alim, terdetik sesuatu yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Nur di wajah mereka memberi ketenangan untuk dipandang. Aku berasa segan berhadapan dengan orang 'alim seperti mereka. Abuya sedaya upaya membantuku mencari rumah atau bilik untuk disewa melalui beberapa kenalan melalui panggilan telefon. Bayangkan, begitu ramai Allah hantarkan hambanya untuk membantu menyelesaikan kesulitan yang aku alami. Sehinggalah Abuya memberi nombor telefon seorang akauntan bujang, Kak Ida untuk aku tanyakan berkenaan sewa bilik. Khamis, malam Jumaat. Kebetulan, ada tahlil dan bacaan Yasin. Usai solat Isyak di surau bersebelahan apartmen, aku bertemu empat mata dengan Kak Ida. Ujian sekali lagi. Insyaa Allah, beliau setuju untuk menumpang di rumahnya, sementara mencari bilik kosong lain untuk disewa. Bukannya Kak Ida tak mahu sewakan bilik, tetapi atas sebab ibunya lazim ke rumah membuat beliau berfikir dua kali untuk sewakan bilik untukku. Aku tidak rasakan ia menjadi masalah kepadaku. Mungkin pada pandangannya, banyak benda perlu difikirkan. Aku faham. Terharu aku, sementara waktu ini, beliau sanggup untuk sewakan bilik untuk aku. Terkesan di sanubari, apabila telinga aku menangkap kata-kata Abuya kepada Kak Ida, "kita tolong orang yang dalam kesusahan, mudah-mudahan Allah tolong permudahkan urusan kita, insyaa Allah." Jujur, aku terkesan dengan bait-bait yang dituturkan oleh Abuya. Bergenang air mata aku. Tidak terniat untuk aku susahkan mereka. Keadaan yang mendesak. Antara sedar atau tidak, Allah menguji aku. Dalam masa yang sama, Allah ingin menunjukkan aku sesuatu. Pertemuan dengan insan-insan yang sebutkan di atas, bagai dihantar untuk mempermudahkan urusanku. Hikmah yang sangat 'dalam' yang perlu digali serta difahami. Aku bersyukur pada-Mu Ya Rabbul 'Izzati. Bergenang air mata tidak tertahan.

Bukannya aku tidak boleh mencari rumah lain, namun aku seakan 'patah kaki' di perantauan tanpa sebarang pengangkutan. Sementara membina kerjaya dan kestabilan ekonomi, aku terpaksa banyak berkorban tanpa keluhan, sebenarnya.

Rumusannya, aku menunggu masa yang sesuai untuk memaklumkan kepada staf sekolah yang aku tumpang rumahnya. Aku perlukan masa dan menyusun kata-kata yang tidak mengguris perasaan mana-mana pihak. Jadi, tindakan aku sekarang ialah tidur kerana esok aku perlu ke sekolah untuk 'briefing' dan 'meeting' untuk hari yang ke-2. Semoga Allah tunjukkan jalan buat hamba yang hina.

Thursday, June 28, 2012

Genap 3 Tahun di sini

28 Jun 2012 merupakan tarikh keramatku sebagai mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia kerana genap sudah 3 tahun pengajian aku di sini. Dalam erti kata lain, aku telah melunaskan tanggungjawabku sebagai seorang pelajar di kampus. Alhamdulillah.

Sebak rasanya melalui detik perpisahan ini. Penghargaan dan rasa terhutang budi yang sesungguhnya tidak dapat dilahirkan dengan sempurnanya dalam beberapa baris ucapan di sini buat pensyarah2, senior2, junior2 dan sahabat2ku sepanjang 3 tahun pengajian ( Dak2 BM thn 3 (2009-2012) ). Hanya Allah sahaja mampu membalasnya. Buat Sufi Ukm, Nor Asiah Ahmad, & Iyda Zynnrah, terima kasih tidah terhingga kerana menjadi 'roomate' yang begitu budiman dan setiakawan. Tidak lupa kak Faizah Baharom yang banyak bersabar dengan karenah adikmu, ini. Terima Kasih. Sayang semuanya.


merakamkan kenangan terakhir

bersalam-salaman sebelum berpisah jauh

sahabat 1 kolej dari kiri: Asyila, Ghafar, Ana, aku, Azie

dari kiri: Sham, Ghafar, Azli

dari kiri: aku, Asyila, Dila, Ana, Azie, kak Faizah

wajah ceria selepas melunaskan tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa (DTAMS, UKM)

dari kiri: Ana, Puda, Asyila, aku

semua ada kecuali Syahid

bersama seorang sahabat sejati

kenangan bersama

sebuah famili besar Pengajian BM

kenangan bersama dari kiri: Ziela, aku, kak Faizah, Shasita

Genap 3 Tahun di bumi UKM

kecuali Syahid, bersalam-salaman bersama kosmate buat kali terakhir 
dari kiri: Sham, Ghafar, Azli

dari kiri: aku, Asyila, Ana, Azie, kak Faizah

merakamkan kenangan terakhir selepas berhempas-pulas mencoret jawapan peperiksaan terakhir

bersama kosmate sekolej (KKM) dari kiri: Asyila,Ghafar, Ana, aku, Azie

ceria selepas melunaskan tanggungjawab sebagai pelajar UKM








Tuesday, June 12, 2012

I'll miss u

Hampir sebulan aku di Kedah sepanjang study week. Bukan study sangat pun, tapi berkenduri-kendara sana sini. Abang saya pun dah selamat diijabkabulkan 25 Mei yang lalu. Walimatul urus belah pengantin perempuan di Bangi, 26 Mei dan terus balik Kedah untuk persiapan majlis belah abang. Alhamdulillah, selesai semuanya pada 2 Jun lalu. Bab mengusik si adik tengah ni, tak payah cerita. Seronok benar makcik-makcik, saudara-mara semua bahankan aku. Paling best, mak lang dan pak lang nak buat kenduri sekali dengan Angah. Angah tak apa la, dah ada calon. So, jalan la dulu. Aku nak tunggu kerja dan cari duit poket dulu, setahun dua. Lagi pula, kenduri abang baru selesai, semestinya banyak duit dah habis melabur. Maka, aku harus bersabar, plus cari duit lebih bantu famili. Baru kena tindakan ni, bukan! Study week kat rumah, bukan study mana pun.  19 Jun dah nak balik Bangi, makna kata selepas exam 21-28 Jun, ambik buku log dan boring bagai kat HEJIM dan Bahagian Pengurusan Akademik kat Cancelori. Then, backpacking untuk ke rumah sewa dan langkah baru untuk latihan industri. Makna kata, Assalamualaikum dan jumpa lagi di majlis konvo bulan 10 nanti, wahai UKM tercinta. I’ll miss u.
Dan untuk ‘dia’, semoga berjumpa lagi. Di mana dan bila, itu tidak pasti. Masa pasti menentukannya. Ada jodoh, mesti bersua kembali. Perancangan Allah Maha Hebat, itu pasti.

Monday, May 14, 2012

titian akhir di kampus


Lama rasanya aku tak mengemas kini entri blog. Al maklumlah, semestinya aku sibuk memandangkan kini semakin meniti hari-hari terakhir di bumi UKM. Latihan Ilmiah yang perlu disiapkan menuntut kesabaran dan daya usaha yang tinggi.

Novel & majalah
Baru-baru ini, aku berkesempatan untuk singgah ke PWTC. Amat seronok memborong majalah dan novel sempena Pesta Buku 2012 yang diadakan secara besar-besaran. Di samping penggemar ilmu mendapatkan apa yang diinginkan dengan harga yang sangat berpatutan, dapat juga memberi peluang kepada peminat untuk bertemu empat mata dengan idola masing-masing. Aku sempat bertemu dengan Damya Hana, Ramlee Awang Mursyid dan paling aku gemari, Norhayati Berahim. Sempat juga aku bergambar dengan beliau. Dengan adanya peluang sebegini, ini memberi ruang dan nafas baru untuk memartabatkan para penulis dan karyawan yang sebelum ini bagaikan dipinggir. Bukan hanya menyanjung artis dan penghibur semata-mata. Berbalik kepada Pesta Buku yang diadakan baru-baru ini, tahniah diucapkan kepada semua pihak yang melaksanakan pesta berkenaan dengan jayanya tidak kira pihak yang terlibat secara langsung mahupun masyarakat yang turut memberi sokongan padu.


Ekspo
Ekspo 3rd Mom & Baby Expo 2012 at Mid Valley kembali lagi pada 11, 12 dan 13 Mei 2012. Seperti biasa, aku sanggup mengabaikan dinner Pusat Pengajian/ Jabatan yang memerlukan bayaran Ringgit Malaysia 70 demi bersama-sama ekspo tersebut.  Hidup mesti ada ‘kos lepas’. Terpaksa memilih yang lebih prioriti dan membuat pilihan tepat. Itulah prinsip hidup aku. Apa yang lebih penting perlu diutamakan terlebih dahulu. Bermula set up barangan ekspo pada 10 Mei, berakhir 14 Mei membuatkan tubuh badan begitu penat. 4 hari berturut-turut membuatkan tulang-tulang dan sendi-sendi merayu-rayu memohon istirahat secukupnya. Pengalaman yang menyeronokkan walaupun keletihan yang teramat. Tak mengapa, mudah-mudahan ada back up bajet untuk deposit dan sewa bilik semasa menjalankan Latihan Industri di Cheras, nanti. Insya-Allah. Dengan izin-Nya. Bukankah, bersakit-sakit dahulu untuk bersenang-senang di kemudian hari. Benarlah petua dan prinsip tersebut.

Walimatul Urus
Tumpang gembira mendengar khabar baik dari salah seorang sahabat dalam kos pengajianku yang bakal mendirikan masjid tak lama lagi. Tahniah dan tahniah sekali lagi. Semoga kekal bahagia hingga ke Jannah. Insya-Allah. Aku? Masih lagi setia menanti Allah kirimkan Imam untukku. J

Wednesday, March 28, 2012

MEMBUJUR LALU, MELINTANG PATAH


Bekalan ‘kepenatan’ dari Langkawi masih lagi terasa tetapi sudah mula mengemas barang-barang untuk berangkat ke selatan tanah air. Sambil-sambil bekerja sambilan, dapat juga aku melihat tempat orang. Jauh perjalanan, luas pandangan. Kutip ilmu dan timba pengalaman untuk dijadikan pedoman hidup di masa hadapan. Dalam menghampiri detik-detik akhir di kampus, aku sedaya upaya mengumpul kenangan sebanyak mungkin untuk dirakam dalam kamus mental. Memori yang tercipta inilah yang menjadi bekalan ingatan untuk diceritakan kepada anak cucu setelah meninggalkan kampus UKM dan rakan-rakan. 

Langkah bermula

Khamis itu, begitu sukar mengangkat mata dan tubuh. Demam sudah kebah, tetapi kepala masih lagi berpinar. Anak tekak masih sakit. Hidung pula berair lagi. Terpaksa ‘tuang’ kelas Dr. Karim. Berangkat ke Johor seperti perancangan walaupun kondisi masih lemah. Ku gagahi jua lantaran janji termeterai dan tiket juga sudah dibeli. Dari kolej, aku bertolak ke KTM Bandar Tasik Selatan untuk ke TBS, transit sebelum bertolak ke Johor. Perjalanan 4 jam terasa 4 hari. Keadaan diri yang masih lemah membuatkan perjalanan terasa hambar. Tibanya di sana bersama 2 orang teman lagi, kami menunggu Abang Faizal, suami Kak Lynn menjemput kami di stesyen Larkin. Usai menjemput Kak Lynn dan staf yang lain di Danga City Mall, semestinya lokasi yang menjadi pilihan ialah Danga Bay. Alang-alang sampai, teringin juga lihat seberang sana. Wah, Singapura di seberang sana. tiba juga aku di negeri paling selatan memandangkan aku bermastautin di utara Semenanjung. Merangkap juga negeri paling akhir yang aku pernah kunjungi di semenanjung Malaysia. 3 hari yang dilalui, pengalaman yang dikutip tak mungkin kulupa. Memori begitu indah terpahat di sanubari. Apa yang paling penting, aku banyak belajar tentang pengalaman hidup yang mustahil dikutip dalam kuliah dan kelas. Tentang persaudaraan. Tentang nilai persahabatan. Tentang realiti dan realiti dan masih lagi realiti sebuah kehidupan.

Monday, March 12, 2012

susah2 dahulu..


Part-timer Mumdreams
Saat teman-teman lain beristirahat di hujung minggu, aku nekad korbankan masaku untuk mencari secebis ringgit demi menampung hidup di kampus. Ya, amat memenatkan. Ada assignment yang harus diselesaikan. Latihan Ilmiah yang perlu ditumpukan. Tubuh badan mendambakan stamina dan rehat yang wajar. Walau apa sekalipun, aku lakukan dengan nekad dan daya usaha. Usai kelas pada Khamis lepas, aku, Hisham dan Nana terus ke KTM untuk ke Midvalley, menyusun barang-barang untuk ekspo esoknya. Kepala memusing dek kepenatan mengejar masa dan berkorban tenaga. 3 hari berikutnya, aku memusing 180 darjah rutin harianku di kampus. Dari seorang pelajar yang setia dengan kuliah dan assignment, aku menjadi seorang penjual barangan bayi dan ibu hamil. Dari mewarnai saat bersama pensyarah dan teman, aku coretkan waktu bersama booth, pakaian-pakaian bayi dan ibu hamil serta rakan sekerja. Pengalaman yang ditimba mengajar aku sebuah kehidupan. Kehidupan yang berbeda. Latar belakang berbeda. Cara hidup yang berbeda. Segalanya dikisar untuk aku mempedomankan hidup. Sungguh aku bersyukur. Dengan itu, aku kenal MAKNA SEBUAH KEHIDUPAN. Kata orang, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang k tepian, bersakitlah dahulu, bersenanglah kemudian. Mudah-mudahan. Bukankah pencetus kepada kejayaan ialah usaha dan doa.

Mengubah nasib keluarga

Aku kenal erti sebuah kesusahan. Aku faham makna sebuah keperitan. Dek desakan hidup, insan bernama manusia sanggup melakukan apa sahaja. Aku nekad untuk mengubah nasib keluarga. Aku simpati dengan abah. Pengorbanan terhadap keluarga begitu besar. Tak terbalas jasanya. Selepas pemergiaan mama, aku cuba kuatkan diri demi adik dan aku. Aku tahu, segala susah payah yang ditanggung, abah cuba telan sendirian walau sukar sekalipun. Abah tidak ingin anak-anaknya tahu bebanan yang ditanggung. Namun, aku sudah cukup dewasa untuk mengerti semua itu. Dugaan hidup, abah. Semoga sentiasa tabah. Aku ingin membantunya saat ini, apakan daya. Hanya kalungan doa yang mampu aku titipkan. Aku sayang keluarga aku. Saat aku meluahkan ini, seakan bah di tubir mataku. Enggan berhenti. Ya Allah, berilah aku sumber kekuatan-Mu. Aku percaya, di saat aku keseorangan, aku hanya ada Kamu, Allahu Rabbi. Meniti hari demi hari, aku hadapi dengan tabah. Walau kekadang aku tergelincir, aku tetap gagahi untuk bangun. Demi Allah yang menciptakan, saat ini aku sangat rindukan semua yang ada dalam keluargaku. Abah yang dikasihi. Mama yang telah pergi. Adik tersayang yang sentiasa menyokongku di saat susah dan senang. Abangku yang disayangi. Tok mama yang dirindui. Semuanya. Semoga di hadapan kelak, ada sinar yang tersembunyi untuk hidup dan masa depanku,Insya-Allah. Aku percaya.

Thursday, March 8, 2012

kisah hari ini


Hari ini dalam sejarah dan kenangan.
Tangisan di hati tetap beku di situ, entah dari mana sedihnya. R. Ya! Hari ini. Terharu, mungkin.
Ya, tiada kuliah, tiada tutorial. Tapi, seawal jam 9 pagi, aku sudah terpacak di BIMB Bangi. Ada urusan penting di sana. Untung nasib ada kawan untuk tumpangkan kereta.
Ingatkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Urusan tak selesai-selesai. Esok kena ‘ziarah’ BIMB lagi.
Selesai separuh urusan di sana, bergegas pula ke PTSL untuk mencari bahan demi tugasan.
Selesai mencari bahan, tiba-tiba telefon tanpa wayarku berbunyi.
Alahai.
Lama ku tunggu-tunggu, tiba juga akhirnya untuk mengambilku. Destinasi seterusnya, Pavilion. Teman abang dan bakal kakak ipar bershopping. Aku buat keputusan untuk window-shopping sahaja. Ringgit Malaysia dalam tas tangan dan akaun simpanan cukup-cukup sahaja untuk berbelanja ala kadar, semester akhir ini. Menyedihkan. Terpaksa buat part-time untuk duit poket sendiri. Itu pun kena jimat-cermat. Ingatkan hanya temankan. Rupanya… “(maaf dirahsiakan). Tak pasti apakah ia tapi hanya dengar separuh. Kemudian, solat magrib. Tak sempat habiskan temujanji tapi bersambung esok. Hujan. Lebat sangat. Stuck in the rain. Tak boleh gerak mana. Terpaksa tunggu. Tapi, tunggu dan tunggu tak selesaikan masalah. Abang buat keputusan untuk menghantar aku dengan berjalan kaki meredah hujan ke train di KLCC dr Pavilion walaupun dah banjir kilat, meredah air yang semakin naik.
Pengorbanan.
Terima kasih, abang.
Tiba di KTM UKM, pun begitu. Stuck lagi dari KTM ke bus stop.
Alahai.
Sekali lagi bermandikan hujan meredah air.
Berlari-lari.
Menggigil kesejukan.
Terus mandi apabila tiba di kolej.
Kemudian..
Mula-mula, riuh suara aku menceritakan pengalaman hari ini kepada teman sebilik. Tiada respon. Jadi, aku pun mengambil keputusan untuk mendiamkan diri. Sakit gigi,agaknya seperti selalu.

Lagipun, penat tak terkata.


Maaf, ketidaktenteraman jiwa hari ini mempengaruhi kualiti bahasa aku.

Monday, March 5, 2012

menghela nafas pada angka 23

Semoga dikurniakan iman yang sempurna,

akhlak yang terpuji, 

pekerti yang mulia,

umur yang bermanafaat,

rezeki yang halal,

ilmu yang berguna,

jodoh yang membahagiakan,

hidup yang dirahmati di dunia dan akhirat.



sempat lagi bergambar sebelum berangkat ke Metro Point Kajang 


23 TAHUN TERDAHULU

2 Mac 2012 menggenapkan usiaku 23 tahun. Menoleh 23 tahun ke belakang membuatkan aku begitu mensyukuri nikmat usiaku, Allahu Rabbi. Di saat ini, rindu begitu mencengkam kalbu hinggakan terasa sesak nafas yang teramat. Semestinya aku merindui insan yang begitu penting bagai permata dalam hidupku. Kesakitan melahirkan untuk hanya satu nyawa, hanya Allah sahaja yang tahu. Jasa dan pengorbanan yang tak mungkin dapat ku balas biar selautan emas permata.


sedang memotong kek yang comel..


dalam meniti usia yang semakin meningkat..


masing-masing khusyu' menikmati hidangan di depan mata..
PERSOALAN DAN RENUNGAN UNTUK DITELADANI BERSAMA

Menjadi persoalan tentang meraikan hari kelahiran dengan memasang lilin di atas kek dan menyanyikan lagu “selamat hari jadi”?
               
Perkara ini datang bukan dari budaya Islam tetapi lahir daripada budaya barat.

Hadis Nabi Muhammad SAW yang membawa maksud :

Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum maka dia bukan dari golongan ku.

Jelas di sini bahawa merayakan hari kelahiran dengan meniupkan lilin itu bukan dari Agama Islam, malah ia dipraktikkan oleh masyarakat Kristian setiap kali mereka menyambut hari kelahiran mereka. Barang siapa yang menyambutnya dengan cara memasang lilin di atas kek dan menyanyikan lagu hari lahir adalah haram sebab bukanlah cara dan budaya Islam mengamalkannya begitu. 

Cara Islam menyambut hari kelahiran adalah dengan melaksanakan kenduri kesyukuran, membaca doa dan menjemput semua kaum kerabat dan sahabat-sahabat yang berdekatan dengan tujuan untuk bersilaturahim antara satu sama lain. Mudah-mudahan lebih mendapat keberkatan dan rahmat Ilahi.

KEJUTAN
Walau bagaimanapun, aku sangat-sangat berterima kasih buat sahabat dan roommate tersayang, Iyda Zynnirah, Hasmiena, Ekin, Yus, Kak Mira dan Hawa yang sanggup bersama-sama di hari yang penuh makna buat aku. Sekali lagi terima kasih untuk Kek Comel itu. Sedap. Terharu benar rasanya bersama kalian untuk kali terakhir di UKM. Seperti biasa, adik tersayang menjadi insan pertama yang mengucapkan hari lahir sekali gus mendoakan untuk aku sempena ulangtahun kelahiran. Dia tidak pernah lupa tarikh aku dilahirkan membuatkan aku berasa sebak dan dihargai. Terima kasih, adik. Terima kasih untuk semua yang mendoakan kebaikan untuk pacal yang hina ini. Mudah-mudahan Allah sahaja yang membalas jasa dan budi kalian. Insya-Allah :)

Yang Menghargai,

Pena Kiri

Friday, February 24, 2012

Bersama Nafas Baru


Akhirnya, dapat juga siapkan task Redaksi Majalah universiti mengenai Klinik Bantuan Guaman UKM dan Artikel Khas tentang UKM. Terasa kepuasannya walaupun masih belum menyentuh perkembangan Latihan Ilmiah pada semester akhir yang telah bermula. Minggu pertama semester, membiasakan diri dengan keadaan sekeliling. Pensyarah dan pelajar masih sibuk menyusun jadual kuliah dan tutorial.

Kuliah dan tutorial
Wah, seronok bukan kepalang. Kuliah Dr. Karim diawalkan ke hari Khamis. Dalam kata lain, aku hanya mempunyai kuliah dan kelas tutorial pada hari SELASA dan KHAMIS. Aku faham, Dr. Karim ada masalah kesihatan. Mudah-mudahan pensyarah-pensyarahku dikurniakan kesihatan yang baik, insya-Allah. Aku berdoa dalam diam.

Berikut adalah jadual kuliah dan kelas tutorial Pena Kiri.

SELASA
8-10     FALSAFAH BAHASA (KULIAH)
10-12   PRAGMATIK BAHASA MELAYU (KULIAH)
12-2     Bertugas di PPPBKKM
5-6       FALSAFAH BAHASA (TUTORIAL)

KHAMIS
8-10     LEKSIKOGRAFI BAHASA MELAYU (KULIAH)
10-11   LEKSIKOGRAFI BAHASA MELAYU (TUTORIAL)
12-1     PRAGMATIK BAHASA MELAYU (TUTORIAL)

Terpedaya
Sedang asyik menikmati makanan di Pusanika, UKM, aku dihampiri oleh ‘abang kacak’ untuk promosi YES 4G UKM. Seperti dapat menghidu minat aku, dia bagai ditarik magnet untuk menghampiri aku dan kawan-kawan. Penerangan demi penerangan diterangkan. Satu persatu. Aku khusyu’ mendengar. Alangkah beruntungnya dia dapat menarik aku sebagai pelanggannya pada hari ini. Aku terpedaya. Aku berjaya mendapatkan broadband dan YES 4G UKM setelah not RM99 berganti tangan. Menarik promosinya. Setiap bulan, dapat top up RM10 percuma  sehingga tamat 6 bulan bergrduasi.  Noktah.

Aku tidak terus pulang, tapi mengambil keputusan untuk menunggu di fakulti hingga selesai solat Jumaat. Bukan apa, aku ada meeting untuk tetapkan jadual bertugas di perpustakaan pusat. Dalam masa yang sama, menunggu senior untuk memberi ole-ole dari Bandung, hari itu. Kemudian, ole-ole tersebut berganti tangan. Ida dan Ekin pun pulang, sementara aku ke surau fakulti sebelum ke Aras 6 untuk meeting.

Perjumpaan Penting
Sekian lama tinggalkan meeting, kini kembali dengan nafas baharu. Wow! Teruja rasanya. Seperti biasa, perjumpaan pertama semestinya bersama AJK Perpustakaan. Penting untuk menyusun jadual bertugas untuk disesuaikan dengan kuliah dan kelas tutorial. Akhirnya, berjaya aku memilih untuk bertugas pada hari Selasa (12 tengah hari - 2 petang) setiap minggu.

Pada mulanya, pertemuan yang dijanjikan pada jam 3 petang tapi bertangguh sehingga jam 4 petang membuatkan aku agak kebosanan menunggu. Pensyaraha ada hal yang tidak dapat dielakkan. Rancangan untuk jogging di stadium terpaksa dilupakan. Alamak. Yang penting, aku harus bersiap siaga untuk keesokannya paginya. Aku harus menaiki Bus Kiffah Zon 6K/6Z seawall 7 pagi untuk tiba di KTM. Berjanji untuk bekerja sambilan selama 2 hari di KLCC. Ada ekspo besar-besaran. Bersama Mumdreams. Sekali lagi berkhidmat. Sekali lagi dan sekali lagi.

Pena Kiri

Tuesday, February 21, 2012

Melihat Kenangan Semalam



Berdebar-debar rasanya menanti detik demi detik, meniti awan jauh dari tanah air. Semoga restu keluarga memayungiku bersama. Usai makan tengahari di KAB bersama Geng Redaksi, aku bersiap-siap untuk berkumpul di Masjid UKM sebelum berangkat ke LCCT. Destinasi à Bandung, Indonesia. Bersama kosmate seramai 20 orang dan seorang lecturer dalam menakhoda memori dan kenangan. Moga yang indah-indah belaka.

Sesingkat masa yang ada dimanfaatkan untuk berlatih koir untuk dipersembahkan kepada pelajar2 Universitas Padjajaran, Bandung sebagai tanda jalinan ukhwah khususnya antara Indonesia dan Malaysia. Apabila jarum jam merentas 12 tengah malam, kami bertolak ke LCCT dengan menaiki bus Kiffah UKM. Lebih kurang 45 minit kemudian, kami tiba ke transit yang dimaksudkan sebelum flight jam 6.30 pagi. Awal sekali. Lebih baik beringat-ingat daripada terlepas flight.

Hari pertama

Getar bukan kepalang tatkala diri di awangan. Terasa diri begitu kerdil sekali tatkala melihat ciptaan Allah. Istighfarku dalam hati. 2 jam lamanya. Tidak lagi di Malaysia. Kini mendarat di bumi Bandung, Jawa Barat, Indonesia. Dijemput oleh Pak Supir dan Pak Agus ke rumah tumpangan kami di Wisma Diklat Bina Marga selepas menikmati makan tengah hari di restoran berhampiran. Ayam Penyet dan air coklat. Sedap. Tiada aktiviti selain berehat setelah berpenat lelah dalam perjalanan. Malamnya, jalan2 cari makan. Mee Segera ala Indonesia.

Hari kedua

Hari yang penting dalam 5 hari di Bandung.  7 pagi di perkarangan rumah tumpangan. Destinasi seterusnya ialah UNPAD atau Universitas Padjajaran. Seorang moderator dan 2 ahli panel Indonesia serta 2 wakil panel pihak kami iaitu Faiz dan Izura dengan tajuk yang berkaitan menjalineratkan antar budaya Indonesia-Malaysia. Begitu bersemangat melihat panel dan persembahan dari pelajar UNPAD. Kami turut tidak ketinggalan mempersembahkan koir ala gabungan beberapa lagu popular dan patriotik Malaysia. Lega akhirnya apabila semuanya berjalan dengan lancar. Selesai berforum, kami dibawa oleh 2 orang pelajar sana (moderator dan salah seorang panel) untuk melawat sekitar UNPAD dan melihat sendiri suasana kampus. Agak teruja, sebenarnya. Petangnya, berjalan-jalan sekitar Bandung  sahaja. Makan malamnya, aku bersama beberapa yang lain berjalan-jalan mencari makan di KFC ala Indonesia yang letaknya berhampiran rumah tumpangan kami.

Hari ketiga

Hari berjalan-jalan sesudah selesai program penting kelmarin. Seronok. Kami singgah ke Hot Sring selepas bersiar-siar ke Tangkuban Parahu sambil membeli cenderamata sebagai tanda ingatan. Nana tak jemu-jemu menjalankan tanggungjawab selaku JuruFoto rasmi Lawatan Semarak Kasih Serumpun Budi ini. Berfoto sana sini untuk merakam segala kenangan dan memori indah di sini. Indah.
Tiba-tiba..
Ada Meetin
g ad hoc
Kenapa?
Maaf, dirahsiakan.
Post-mortem dirahsiakan. Hehehe.

Hari Keempat

Semestinya hari yang ditunggu-tunggu. Aku bakal menghabiskan sejuta rupiah di Pasar Baru. Sehari suntuk kami di sana. Membeli-belah. Mulanya, bergerak dalam kumpulan, terpisah dan terjumpa semula. Kemudian, terpisah lagi. Dan terjumpa semula. Biasa la, 7 tingkat. Ghairah melihat barangan yang dijual. Harga berpatutan. Sedang asyik aku dan Syahid menunggu Nana membeli kain telekung, disapa oleh 2 orang jejaka. Rupanya pelajar UKM, travel berdua. Sekolej dengan Syahid lagi. Kecilnya dunia. Masakan di Bandung bisa bertemu teman sekolej. Wah, berdikari sangat. Usai makan, pulang ke rumah tumpangan untuk solat jama’ dan qasar sebelum sambung berjalan-jalan ke Outlet yang berhampiran.
Malamnya meeting ad hoc lagi.
Kenapa?
Maaf, dirahsiakan.
Post-mortem dirahsiakan. Hehehe.

Hari kelima, seawal jam 4.30 pagi, aku menguatkan diri untuk bersiap-siap berangkat ke airport. Waktu untuk berlepas seperti yang tertera ialah 8.30 pagi. Malaysia menantiku. (hahaha)
Akhirnya, kembali ke pangkuan tanah airku.
Selamat Tinggal UNPAD, Selamat Jalan Bandung.
 Jumpa lagi, Indonesia.
Ada rezeki, aku ke sana lagi. Insya-Allah.




KENANGAN

Semestinya Bandung dan UNPAD menjadi kenangan paling bermakna dan berharga bersama teman. Pahit manis yang dirasai dalam menjayakan program terus segar di ingatan.
Tanggal 12 hingga 16 Februari 2012 tersemat utuh di tugu ingatan.

Kawan.
Teman.
Persahabatan.
Ukhwah yang terjalin antara kita semua.
Segalanya di ingatan.
Memori.

Yang Benar,

Pena Kiri


Thursday, February 9, 2012

makna sebuah kesabaran


Terasa begitu serabut malam ni. Perancangan asal beralih arah. Sepatutnya, boleh siapkan sebahagian task Redaksi Majalah. Dugaan datang tanpa diundang. Masalah menerpa tanpa dipelawa. Apa yang harus aku pelajari di saat ini ialah kesabaran. Sabar itu separuh daripada iman. Paras yang tipis harus dipertingkat. Aduh. Ujian sebesar zarah pun, sukar ku kawal. Apatah lagi, cabaran besar dunia? Meninggalkan tanda tanya di situ.
Di saat aku mengejar masa untuk menyiapkan tugasan sebelum terbang ke Bandung, komputer riba buat perangai. Virus di sana sini. Entah apa sakitnya; yang penting Ringgit Malaysia yang seharusnya dijimatkan bakal disia-siakan demi ‘beliau’. Sakit hati!
Ditambah pula, ekonomi dan kewangan diri yang tidak stabil begitu merosakkan saraf di kepala. Sakit! Sakit! Sakit! Andai kata dapat ‘tarik diri’ daripada terlibat untuk program itu. Andai kata masa dapat diputarkan. Argh. Semuanya mustahil. Sekali melangkah, sukar menoleh. Ya, wang dapat menghuru-harakan keadaan hidup seseorang jika tidak ditangani dengan bijak.
Sehingga saat ini, skrin masih mahu memberi kerjasama tetapi seperti ‘main tarik tali’. Kejap baik, kejap tidak. Penat melayan ‘Tuan Laptop’. Hanya mampu menunggu esok. Harap esok masih ada. Terkehel-kehel mencari jalan untuk ‘Tuan Laptop’ yang budiman. Masih baik nasibku. Ada yang akan membantu format laptopku, esok. Terima kasih daun keladi.
Tidur dengan hati yang menekan-nekan. Begitu menyesakkan. Tersekat di kerongkong. Sabarlah wahai sang hati. Pelajarilah apa ertinya sebuah kesabaran. Manis sebenarnya. Namun, aku masih belum merasainya lagi. Teringin. 

Task Redaksi UKM


LEGA

Lega. Itulah perasaan aku selepas menemu bual Felo Utama Prof. Siti Naaishah Hambali dan saudara Faiz Zahadi untuk mendapatkan informasi mengenai Klinik Bantuan Guaman UKM. Itulah antara tugasan yang bakal direncanakan dalam Majalah UKM Edisi 35.

Temubual yang makan masa hampir sejam setengah itu begitu memberi impak tersendiri kepada penulis sebagai wartawan Redaksi Majalah UKM. Setibanya di sana pada jam 10 pagi seperti yang dijanjikan, aku mencari-cari telefon tanpa wayar di dalam tas tangan untuk menghubungi saudara Faiz Zahadi. Beliau banyak membantu aku mendapatkan maklumat dan menguruskan perjumpaan bersama Prof. tersebut. Debaran tetap ada. Al maklumlah, menemubual antara orang penting UKM di Fakulti Undang-Undang. Aku cuba buat yang terbaik demi Redaksi UKM. Aku cuba komited dalam melaksanakan amanah yang diberi. Insya-Allah. Ya, dengan izin-Nya.

KOMITMEN

Sibuk tetap sibuk. Tapi, program ke Universitas Padjajaran tetap terjadual dalam kamus mental aku. Kerja dan tugasan harus dibahagi. Kerja lebih tersusun. Mudahkan aku. Mudahkan orang lain juga. Mudahkan semua orang. Jujur aku katakan, perasaan teruja untuk meniti awan lenyap sama sekali. Mungkin Ringgit Malaysia yang nipis mengurangkan keghairahanku. Jimat, aku harus. Biarlah, bersusah-susah dahulu, mudah-mudahan senang kemudian. Hari itu, aku ajak sahabat aku, Shasita ke PKNS Bangi, untuk tujuan money changer  Ringgit Malaysia kepada Rupiah. Aku hanya laburkan kertas yang bernot RM100 sahaja. Itupun, duit lebihan daripada pinjaman PTPTN semester sudah. Walau apa pun, perasaan untuk ke sana tetap hambar. Lebih teruja untuk melaksanakan tugasan Redaksi Majalah. Lebih menjana minda. Tidaklah terlalu beku memandangkan musim cuti semester yang lama. 

Menyerah, tidak sama sekali !


RINDU

Ya, rindu benar rasanya untuk mengemas kini entri dan blog. Bersawang pula blog tanpa entri, bukan!

KONVO ABANG

Jangan salah sangka. Jangan salah tafsir. Bukan konvo ‘abang’ tapi abang sendiri lah! Aku, adik dan nenek setia menunggu bus di stesyen bus Sungai Petani. Demi melihat abang menerima segulung ijazah di majlis konvokesyen, semestinya menjadi hari bermakna dalam hidupnya. Kasihan abang! Ya, abah tak ikut. Namun, abah tetap wakilkan aku dan adik untuk bersama-sama di hari bahagia abang. Malam itu, kami tiba di Hentian Duta. Sabar menunggu abang menjemput kami. Sebelum bermalam di rumah bujangnya, kami singgah makan. Berhampiran dengan Kampung Baru. Oh, itulah Kampung Baru, aku bermonolog. Sedih sebenarnya, melihat nenek bersusah payah demi abang. Sebak di dada memang terasa. Sendi dan tulang di lutut nenek amat terbatas, meluluhkan rasa. Tak mampu bergerak bebas. Bergetar satu rasa entah dari mana. Tiba di rumah bujang abang, terkesimaseketika. Alangkah terharu. Keadaan sekeliling yang serbakurang. Dapar tanpa gas. Meja tanpa alas. Bilik tanpa katil. Ruang tanpa bebas. Kecil cuma. Luasnya mungkin sedepa besar daripada bilik kolejku. Itulah flat yang pernah aku duduki suatu ketika aku masih belum mengenal erti dunia. Kini, menjadi tempat berteduh sementara untuk abang yang bekerja jauh dari kampung halaman. Mungkin menjadi pendorong untuk abang menggapai cita-cita dan impian. Biarpun tidak diungkap dengan lidah, aku dapat mencerap perasaannya yang begitu kental dan tabah. Kagumi aku dalam diam. Paginya, bersiap-siap untuk ke PICC di Putrajaya. Majlis konvokesyennya di sana. Tahniah, abang. Semoga terus berjaya bukan hanya di dunia, malah akhirat juga. Tunangnya juga turut ada. Konvo pada waktu dan tempat yang sama. Sehari suntuk. Letih bukan kepalang. Seorang demi seorang ke pentas. Sabar aku menunggu nama abang disebut. Tiba akhirnya.

SENDIRI

Alahai, tiba saatnya pulang ke kampus demi kerja dan tanggungjawab. Amanah yang digalas harus dijaga. Redaksi Majalah UKM. Surat-surat. Rencana dan artikel. Temubual dan wawancara. Semuanya setia menunggu di UKM. Pulang akhirnya di kolej Ibrahim Yaakub. Meniti hari demi hari bersama gerak kerja Redaksi di kolej Aminuddin Baki. Sangat teruja sebenarnya. Minat. Seminggu lamanya. Tak sedar masa berlalu dek Redaksi dan analisis data untuk Latihan Ilmiah. Alhamdulillah, nampak progress memuaskan hati ini. Setidak-tidaknya, aku memanfaatkan cuti semester kali ini dengan jayanya, barangkali. Sebelum meniti awan ke Bandung, aku dapat siapkan beberapa tugasan. Harus komited. Belajar dan belajar perkara baharu. Bukankah, belajar itu tiada had masa, malahan hingga ke liang lahat.

REMINDER

Dalam tempoh yang begitu singkat sebelum meniti awan, jangan dilupa tugasan UKM, Dunia Inspirasiku dan Rencana Khas: Klinik Guaman UKM yang harus diselesaikan. Juga Latihan Ilmiah yang harus diteliti dari semasa ke semasa. Temubual bersama Felo Utama, Prof. Siti Naaishah Hambali, esok bersama wartawan Shima dan Dayah. Nazman dan jurufoto Ai'zat Na'im tidak ketinggalan ikut serta. semoga urusan berjalan dengan lancar. 

Diharap aku selamat pergi dan pulang meniti awan. Insya-Allah. 

Sekembali nanti, debaran result kian terlerai. 

Aduhai Pena Kiri.

Thursday, February 2, 2012

Tak seindah rupa


JEMAAH LEBIH AFDAL

Angin petang berarak pulang. Gumpalan awan menyembunyikan diri. Ufuk merah mula kelihatan. Indahnya ciptaan-Nya.
Beberapa ketika,
Allahu Akbar Allahu Akbar...
Azan bergema menunjukkan masuknya waktu solat magrib. Seperti biasa, bersiap-siap untuk solat magrib secara berjemaah. Berimamkan abah. Kadangkala, adik yang mengimamkan aku. Bak kata Ustaz Azhar Idrus, nak 1x atau 27x; nak RM1000 atau RM27 000? Bukankah lebih BAIK berjemaah berbanding solat bersendirian?
Usai membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan solat Isya’, aku menuruni tangga untuk panaskan lauk tengahari yang masih elok untuk makan malam. Tok mama (tok sebelah Allahyarhamah mama) ada di rumah sekali.
Lama tidak bertemu, rindu pun bertamu.

TAK SEINDAH RUPA

Sambil masing-masing berehat di ruang tamu, memberi ruang kepada perut mencernakan apa yang ada. Bukan menCURI dengar, hanya TERdengar dialog-dialog orang tua bersembang. Aku hanya menCERNA  subjek dan predikat yang penting-penting di dalam lautan minda lalu meMUNTAHkan dalam bentuk tulisan pula. (berfikir, menganalisa dan bertindak)
Itu yang dirunsing Si Abah, Majlis Walimatul Urus  yang makin hampiri menggusarkan hati. Dalam konteks ini, bermaksud ALIRAN MASUK KELUAR berpuluh-puluh dan mungkin beratus-ratus  keping Ringgit Malaysia yang akan DIPEROLEH DILABURKAN untuk keperluan tersebut. Keperluan apa? MAJLIS PERKAHWINAN!
Majlis perkahwinan, ada kalanya Tak Seindah Rupa. Memakan belanja yang agak besar. Walau siapa-siapa yang mengalami masalah kewangan, tentu fahami perasaan  tekanan hebat yang menyesakkan. Al-maklumlah, sebelah pengantin lelaki, tentu dapat gambarkan lingkungan kos dan perbelanjaan. Mas kahwin! Hantaran! Pelamin! Catering (tak seperti kampung- semangat muhibbah gotong-royong untuk majlis kenduri dan sebagainya) dan macam-macam lagi keperluan lain. Oh, benar. Tak seindah rupa.
Kesian Abah. Kenduri makin dekat. Adik yang tunggu result SPM, pada waktu yang sama. Aku lagi. Andai dapat ku beri segala yang termampu & terbaik untukmu suatu hati nanti. aku bantu. Insya-Allah.

RUMUSAN

Aku belajar berjimat HANYA untuk keperluan. Dengan cara itu, aku dapat kurangkan beban 
belanja abah. Kalau suatu hari nanti, aku sudah bekerjaya. Tak banyak sekali pun, aku harap aku dapat hulur untuk meringankan beban itu. Aku tahu. Aku tahu. Aku tahu. Leteran untuk perkara biarpun kecil itu aku anggap sebahagian cara abah meluahkan rasa. Tertekan. Ya, perkataan yang sangat tepat. Aku faham. Aku faham. Aku faham.
Walaupun, kadangkala terkecil hati. aku pujuk sendiri jua.
Tak apa, abah. Hidup kita ibarat pusingan roda. Kadangkala, rendah di bawah. Kadangkala, tinggi di atas. DIA lebih mengetahui. Siapa tahu, perancangan DIA Maha Hebat.

USTAZ DON

Al Fadhil, Ustaz Don Daniyal ke udara di TV Alhijrah 114 mencuri perhatian kelima-lima deria utamaku. Penyampaiannya yang bernas dan bersahaja benar-benar sampai ke dasar hati yang luhur. Tajuk ‘Cinta Rasul’ sempena Maulidur Rasul yang tidak lama lagi begitu menyentuh jiwa. Bayangkan Al Fadhil, Ustaz menyampaikan dengan begitu meruntun jiwa hinggakan takungan jernih beliau bergenang di tubir mata. Allahu Akbar. Jiwa begitu halus dan tulus. Aku sendiri tidak lagi sampai ke tahap itu. Subhanallah. Allahu Rabbi.

AKHIR KALAM

Buat kekandaku tercinta yang bakal mendirikan masjid, semoga dapat membina sebuah keluarga yang ‘sakinah’, ‘mawaddah’ dan ‘rahmah’. Dengan izin-Nya, insya-Allah. Amin. Adinda sentiasa menitipkan doa kebahagian buat kita sekeluarga. Amin. Amin Ya Rabbal Alami.

TARIKH SEBENAR: 1/2/12
LOKASI: TAMAN SEJATI INDAH, SUNGAI PETANI.