BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, December 20, 2012

pengalaman adalah guru terbaik

20/12/2012

Hari ini merupakan hari pertama aku lapor diri sebagai seorang guru salah sebuah sekolah swasta(menengah rendah) di Hulu Langat untuk subjek Sejarah dan Bahasa Melayu. Aku dikehendaki mengajar subjek Bahasa Melayu untuk Tingkatan 2 dan Sejarah untuk Tingkatan 1 serta guru kelas 1 Passion. Aku perlu  banyak bertanya dan belajar.

Banyak dugaan yang aku tempuh untuk mendapatkan kerja di situ termasuklah berkenaan rumah sewa. Aku begitu terdesak menyebabkan aku terpaksa menumpang di apartmen seorang staf sekolah (janda beranak dua)disebabkan ketiadaan tempat berlindung. Sementara itu, aku terpaksa tebalkan muka, bertanya guru-guru senior tentang rumah atau bilik untuk disewa. Allah tidak akan menduga hamba yang tidak mampu melalui ujian-Nya. Jadi, aku diuji lagi dengan respon dingin beberapa guru-guru bujang terutamanya, di situ. Walau bagaimanapun, aku berkenalan dengan empat orang guru yang juga baharu di sekolah yang aku bakal mengajar. Tidaklah aku terlalu kekok.

Aku tiada masalah dengan tempat tinggal staf sekolah yang aku tumpang, tetapi apa yang membuat aku bingung adalah kedua-dua anak lelakinya, masing-masing berusia 10 dan 11 tahun. Aku perlu fikirkan jangka masa. Anak-anaknya makin membesar. Anak lelaki. Aku akan mengalami masalah di kemudian hari, khususnya bab mahram dan sebagainya. Aku perlu menjaga hati banyak pihak, lebih-lebih lagi staf tersebut yang sanggup tumpangkan rumahnya. Dalam masa yang sama, aku perlu fikirkan tentang jangka masa panjang. Aku hargai bantuannya. Tapi, aku perlu fikirkan sesuatu yang lebih dari itu. Jadi, dengan kudrat yang ada, selepas tamat sesi lapor diri dan mesyuarat, aku nekad mencari tempat lain untuk berteduh. Aku mencari walaupun penat di sekolah belum hilang.


Pertemuan

Hinggalah kakiku berhenti di suatu tempat. Pertemuan tidak diduga dengan seorang kerani apartmen, Kak Siti menemukan aku dengan beberapa hamba Allah untuk membantuku. Tentu anda terkesan sekiranya anda berada di tempatku. Bayangkan, kesilapan yang dilakukan oleh Kak Siti memberi maklumat rumah yang kononnya dikatakan sudah kosong, sebenarnya milik keluarga ustaz dan ustazah yang mengajar tahfiz di salah sebuah sekolah agama swasta. Selepas ketuk pintu rumah berkenaan beberapa kali, seorang 'ibu' yang berusia 50-an membuka pintu. Selepas aku menceritakan segala masalahku berkenaan sewaan, dia menjemputku masuk ke rumah sementara menunggu anak menantunya pulang dari sekolah tahfiz. Anda tidak dapat rasakan apa yang saya rasa. Saya keseorangan di tempat orang, tersepit bahkan memerlukan bantuan. Usai menjamah roti dan air yang dihidang, ustaz dan ustazah yang berpurdah itu membawaku berjumpa dengan seorang jiran yang dipanggil Abuya oleh jiran setempat. Sekali lagi, Allah menemukan aku dengan seorang yang 'alim. Apakah hikmah di sebalik semua ini? Dengan menemukan aku dengan beberapa orang 'alim, terdetik sesuatu yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Nur di wajah mereka memberi ketenangan untuk dipandang. Aku berasa segan berhadapan dengan orang 'alim seperti mereka. Abuya sedaya upaya membantuku mencari rumah atau bilik untuk disewa melalui beberapa kenalan melalui panggilan telefon. Bayangkan, begitu ramai Allah hantarkan hambanya untuk membantu menyelesaikan kesulitan yang aku alami. Sehinggalah Abuya memberi nombor telefon seorang akauntan bujang, Kak Ida untuk aku tanyakan berkenaan sewa bilik. Khamis, malam Jumaat. Kebetulan, ada tahlil dan bacaan Yasin. Usai solat Isyak di surau bersebelahan apartmen, aku bertemu empat mata dengan Kak Ida. Ujian sekali lagi. Insyaa Allah, beliau setuju untuk menumpang di rumahnya, sementara mencari bilik kosong lain untuk disewa. Bukannya Kak Ida tak mahu sewakan bilik, tetapi atas sebab ibunya lazim ke rumah membuat beliau berfikir dua kali untuk sewakan bilik untukku. Aku tidak rasakan ia menjadi masalah kepadaku. Mungkin pada pandangannya, banyak benda perlu difikirkan. Aku faham. Terharu aku, sementara waktu ini, beliau sanggup untuk sewakan bilik untuk aku. Terkesan di sanubari, apabila telinga aku menangkap kata-kata Abuya kepada Kak Ida, "kita tolong orang yang dalam kesusahan, mudah-mudahan Allah tolong permudahkan urusan kita, insyaa Allah." Jujur, aku terkesan dengan bait-bait yang dituturkan oleh Abuya. Bergenang air mata aku. Tidak terniat untuk aku susahkan mereka. Keadaan yang mendesak. Antara sedar atau tidak, Allah menguji aku. Dalam masa yang sama, Allah ingin menunjukkan aku sesuatu. Pertemuan dengan insan-insan yang sebutkan di atas, bagai dihantar untuk mempermudahkan urusanku. Hikmah yang sangat 'dalam' yang perlu digali serta difahami. Aku bersyukur pada-Mu Ya Rabbul 'Izzati. Bergenang air mata tidak tertahan.

Bukannya aku tidak boleh mencari rumah lain, namun aku seakan 'patah kaki' di perantauan tanpa sebarang pengangkutan. Sementara membina kerjaya dan kestabilan ekonomi, aku terpaksa banyak berkorban tanpa keluhan, sebenarnya.

Rumusannya, aku menunggu masa yang sesuai untuk memaklumkan kepada staf sekolah yang aku tumpang rumahnya. Aku perlukan masa dan menyusun kata-kata yang tidak mengguris perasaan mana-mana pihak. Jadi, tindakan aku sekarang ialah tidur kerana esok aku perlu ke sekolah untuk 'briefing' dan 'meeting' untuk hari yang ke-2. Semoga Allah tunjukkan jalan buat hamba yang hina.

0 comments: