BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, February 24, 2012

Bersama Nafas Baru


Akhirnya, dapat juga siapkan task Redaksi Majalah universiti mengenai Klinik Bantuan Guaman UKM dan Artikel Khas tentang UKM. Terasa kepuasannya walaupun masih belum menyentuh perkembangan Latihan Ilmiah pada semester akhir yang telah bermula. Minggu pertama semester, membiasakan diri dengan keadaan sekeliling. Pensyarah dan pelajar masih sibuk menyusun jadual kuliah dan tutorial.

Kuliah dan tutorial
Wah, seronok bukan kepalang. Kuliah Dr. Karim diawalkan ke hari Khamis. Dalam kata lain, aku hanya mempunyai kuliah dan kelas tutorial pada hari SELASA dan KHAMIS. Aku faham, Dr. Karim ada masalah kesihatan. Mudah-mudahan pensyarah-pensyarahku dikurniakan kesihatan yang baik, insya-Allah. Aku berdoa dalam diam.

Berikut adalah jadual kuliah dan kelas tutorial Pena Kiri.

SELASA
8-10     FALSAFAH BAHASA (KULIAH)
10-12   PRAGMATIK BAHASA MELAYU (KULIAH)
12-2     Bertugas di PPPBKKM
5-6       FALSAFAH BAHASA (TUTORIAL)

KHAMIS
8-10     LEKSIKOGRAFI BAHASA MELAYU (KULIAH)
10-11   LEKSIKOGRAFI BAHASA MELAYU (TUTORIAL)
12-1     PRAGMATIK BAHASA MELAYU (TUTORIAL)

Terpedaya
Sedang asyik menikmati makanan di Pusanika, UKM, aku dihampiri oleh ‘abang kacak’ untuk promosi YES 4G UKM. Seperti dapat menghidu minat aku, dia bagai ditarik magnet untuk menghampiri aku dan kawan-kawan. Penerangan demi penerangan diterangkan. Satu persatu. Aku khusyu’ mendengar. Alangkah beruntungnya dia dapat menarik aku sebagai pelanggannya pada hari ini. Aku terpedaya. Aku berjaya mendapatkan broadband dan YES 4G UKM setelah not RM99 berganti tangan. Menarik promosinya. Setiap bulan, dapat top up RM10 percuma  sehingga tamat 6 bulan bergrduasi.  Noktah.

Aku tidak terus pulang, tapi mengambil keputusan untuk menunggu di fakulti hingga selesai solat Jumaat. Bukan apa, aku ada meeting untuk tetapkan jadual bertugas di perpustakaan pusat. Dalam masa yang sama, menunggu senior untuk memberi ole-ole dari Bandung, hari itu. Kemudian, ole-ole tersebut berganti tangan. Ida dan Ekin pun pulang, sementara aku ke surau fakulti sebelum ke Aras 6 untuk meeting.

Perjumpaan Penting
Sekian lama tinggalkan meeting, kini kembali dengan nafas baharu. Wow! Teruja rasanya. Seperti biasa, perjumpaan pertama semestinya bersama AJK Perpustakaan. Penting untuk menyusun jadual bertugas untuk disesuaikan dengan kuliah dan kelas tutorial. Akhirnya, berjaya aku memilih untuk bertugas pada hari Selasa (12 tengah hari - 2 petang) setiap minggu.

Pada mulanya, pertemuan yang dijanjikan pada jam 3 petang tapi bertangguh sehingga jam 4 petang membuatkan aku agak kebosanan menunggu. Pensyaraha ada hal yang tidak dapat dielakkan. Rancangan untuk jogging di stadium terpaksa dilupakan. Alamak. Yang penting, aku harus bersiap siaga untuk keesokannya paginya. Aku harus menaiki Bus Kiffah Zon 6K/6Z seawall 7 pagi untuk tiba di KTM. Berjanji untuk bekerja sambilan selama 2 hari di KLCC. Ada ekspo besar-besaran. Bersama Mumdreams. Sekali lagi berkhidmat. Sekali lagi dan sekali lagi.

Pena Kiri

Tuesday, February 21, 2012

Melihat Kenangan Semalam



Berdebar-debar rasanya menanti detik demi detik, meniti awan jauh dari tanah air. Semoga restu keluarga memayungiku bersama. Usai makan tengahari di KAB bersama Geng Redaksi, aku bersiap-siap untuk berkumpul di Masjid UKM sebelum berangkat ke LCCT. Destinasi à Bandung, Indonesia. Bersama kosmate seramai 20 orang dan seorang lecturer dalam menakhoda memori dan kenangan. Moga yang indah-indah belaka.

Sesingkat masa yang ada dimanfaatkan untuk berlatih koir untuk dipersembahkan kepada pelajar2 Universitas Padjajaran, Bandung sebagai tanda jalinan ukhwah khususnya antara Indonesia dan Malaysia. Apabila jarum jam merentas 12 tengah malam, kami bertolak ke LCCT dengan menaiki bus Kiffah UKM. Lebih kurang 45 minit kemudian, kami tiba ke transit yang dimaksudkan sebelum flight jam 6.30 pagi. Awal sekali. Lebih baik beringat-ingat daripada terlepas flight.

Hari pertama

Getar bukan kepalang tatkala diri di awangan. Terasa diri begitu kerdil sekali tatkala melihat ciptaan Allah. Istighfarku dalam hati. 2 jam lamanya. Tidak lagi di Malaysia. Kini mendarat di bumi Bandung, Jawa Barat, Indonesia. Dijemput oleh Pak Supir dan Pak Agus ke rumah tumpangan kami di Wisma Diklat Bina Marga selepas menikmati makan tengah hari di restoran berhampiran. Ayam Penyet dan air coklat. Sedap. Tiada aktiviti selain berehat setelah berpenat lelah dalam perjalanan. Malamnya, jalan2 cari makan. Mee Segera ala Indonesia.

Hari kedua

Hari yang penting dalam 5 hari di Bandung.  7 pagi di perkarangan rumah tumpangan. Destinasi seterusnya ialah UNPAD atau Universitas Padjajaran. Seorang moderator dan 2 ahli panel Indonesia serta 2 wakil panel pihak kami iaitu Faiz dan Izura dengan tajuk yang berkaitan menjalineratkan antar budaya Indonesia-Malaysia. Begitu bersemangat melihat panel dan persembahan dari pelajar UNPAD. Kami turut tidak ketinggalan mempersembahkan koir ala gabungan beberapa lagu popular dan patriotik Malaysia. Lega akhirnya apabila semuanya berjalan dengan lancar. Selesai berforum, kami dibawa oleh 2 orang pelajar sana (moderator dan salah seorang panel) untuk melawat sekitar UNPAD dan melihat sendiri suasana kampus. Agak teruja, sebenarnya. Petangnya, berjalan-jalan sekitar Bandung  sahaja. Makan malamnya, aku bersama beberapa yang lain berjalan-jalan mencari makan di KFC ala Indonesia yang letaknya berhampiran rumah tumpangan kami.

Hari ketiga

Hari berjalan-jalan sesudah selesai program penting kelmarin. Seronok. Kami singgah ke Hot Sring selepas bersiar-siar ke Tangkuban Parahu sambil membeli cenderamata sebagai tanda ingatan. Nana tak jemu-jemu menjalankan tanggungjawab selaku JuruFoto rasmi Lawatan Semarak Kasih Serumpun Budi ini. Berfoto sana sini untuk merakam segala kenangan dan memori indah di sini. Indah.
Tiba-tiba..
Ada Meetin
g ad hoc
Kenapa?
Maaf, dirahsiakan.
Post-mortem dirahsiakan. Hehehe.

Hari Keempat

Semestinya hari yang ditunggu-tunggu. Aku bakal menghabiskan sejuta rupiah di Pasar Baru. Sehari suntuk kami di sana. Membeli-belah. Mulanya, bergerak dalam kumpulan, terpisah dan terjumpa semula. Kemudian, terpisah lagi. Dan terjumpa semula. Biasa la, 7 tingkat. Ghairah melihat barangan yang dijual. Harga berpatutan. Sedang asyik aku dan Syahid menunggu Nana membeli kain telekung, disapa oleh 2 orang jejaka. Rupanya pelajar UKM, travel berdua. Sekolej dengan Syahid lagi. Kecilnya dunia. Masakan di Bandung bisa bertemu teman sekolej. Wah, berdikari sangat. Usai makan, pulang ke rumah tumpangan untuk solat jama’ dan qasar sebelum sambung berjalan-jalan ke Outlet yang berhampiran.
Malamnya meeting ad hoc lagi.
Kenapa?
Maaf, dirahsiakan.
Post-mortem dirahsiakan. Hehehe.

Hari kelima, seawal jam 4.30 pagi, aku menguatkan diri untuk bersiap-siap berangkat ke airport. Waktu untuk berlepas seperti yang tertera ialah 8.30 pagi. Malaysia menantiku. (hahaha)
Akhirnya, kembali ke pangkuan tanah airku.
Selamat Tinggal UNPAD, Selamat Jalan Bandung.
 Jumpa lagi, Indonesia.
Ada rezeki, aku ke sana lagi. Insya-Allah.




KENANGAN

Semestinya Bandung dan UNPAD menjadi kenangan paling bermakna dan berharga bersama teman. Pahit manis yang dirasai dalam menjayakan program terus segar di ingatan.
Tanggal 12 hingga 16 Februari 2012 tersemat utuh di tugu ingatan.

Kawan.
Teman.
Persahabatan.
Ukhwah yang terjalin antara kita semua.
Segalanya di ingatan.
Memori.

Yang Benar,

Pena Kiri


Thursday, February 9, 2012

makna sebuah kesabaran


Terasa begitu serabut malam ni. Perancangan asal beralih arah. Sepatutnya, boleh siapkan sebahagian task Redaksi Majalah. Dugaan datang tanpa diundang. Masalah menerpa tanpa dipelawa. Apa yang harus aku pelajari di saat ini ialah kesabaran. Sabar itu separuh daripada iman. Paras yang tipis harus dipertingkat. Aduh. Ujian sebesar zarah pun, sukar ku kawal. Apatah lagi, cabaran besar dunia? Meninggalkan tanda tanya di situ.
Di saat aku mengejar masa untuk menyiapkan tugasan sebelum terbang ke Bandung, komputer riba buat perangai. Virus di sana sini. Entah apa sakitnya; yang penting Ringgit Malaysia yang seharusnya dijimatkan bakal disia-siakan demi ‘beliau’. Sakit hati!
Ditambah pula, ekonomi dan kewangan diri yang tidak stabil begitu merosakkan saraf di kepala. Sakit! Sakit! Sakit! Andai kata dapat ‘tarik diri’ daripada terlibat untuk program itu. Andai kata masa dapat diputarkan. Argh. Semuanya mustahil. Sekali melangkah, sukar menoleh. Ya, wang dapat menghuru-harakan keadaan hidup seseorang jika tidak ditangani dengan bijak.
Sehingga saat ini, skrin masih mahu memberi kerjasama tetapi seperti ‘main tarik tali’. Kejap baik, kejap tidak. Penat melayan ‘Tuan Laptop’. Hanya mampu menunggu esok. Harap esok masih ada. Terkehel-kehel mencari jalan untuk ‘Tuan Laptop’ yang budiman. Masih baik nasibku. Ada yang akan membantu format laptopku, esok. Terima kasih daun keladi.
Tidur dengan hati yang menekan-nekan. Begitu menyesakkan. Tersekat di kerongkong. Sabarlah wahai sang hati. Pelajarilah apa ertinya sebuah kesabaran. Manis sebenarnya. Namun, aku masih belum merasainya lagi. Teringin. 

Task Redaksi UKM


LEGA

Lega. Itulah perasaan aku selepas menemu bual Felo Utama Prof. Siti Naaishah Hambali dan saudara Faiz Zahadi untuk mendapatkan informasi mengenai Klinik Bantuan Guaman UKM. Itulah antara tugasan yang bakal direncanakan dalam Majalah UKM Edisi 35.

Temubual yang makan masa hampir sejam setengah itu begitu memberi impak tersendiri kepada penulis sebagai wartawan Redaksi Majalah UKM. Setibanya di sana pada jam 10 pagi seperti yang dijanjikan, aku mencari-cari telefon tanpa wayar di dalam tas tangan untuk menghubungi saudara Faiz Zahadi. Beliau banyak membantu aku mendapatkan maklumat dan menguruskan perjumpaan bersama Prof. tersebut. Debaran tetap ada. Al maklumlah, menemubual antara orang penting UKM di Fakulti Undang-Undang. Aku cuba buat yang terbaik demi Redaksi UKM. Aku cuba komited dalam melaksanakan amanah yang diberi. Insya-Allah. Ya, dengan izin-Nya.

KOMITMEN

Sibuk tetap sibuk. Tapi, program ke Universitas Padjajaran tetap terjadual dalam kamus mental aku. Kerja dan tugasan harus dibahagi. Kerja lebih tersusun. Mudahkan aku. Mudahkan orang lain juga. Mudahkan semua orang. Jujur aku katakan, perasaan teruja untuk meniti awan lenyap sama sekali. Mungkin Ringgit Malaysia yang nipis mengurangkan keghairahanku. Jimat, aku harus. Biarlah, bersusah-susah dahulu, mudah-mudahan senang kemudian. Hari itu, aku ajak sahabat aku, Shasita ke PKNS Bangi, untuk tujuan money changer  Ringgit Malaysia kepada Rupiah. Aku hanya laburkan kertas yang bernot RM100 sahaja. Itupun, duit lebihan daripada pinjaman PTPTN semester sudah. Walau apa pun, perasaan untuk ke sana tetap hambar. Lebih teruja untuk melaksanakan tugasan Redaksi Majalah. Lebih menjana minda. Tidaklah terlalu beku memandangkan musim cuti semester yang lama. 

Menyerah, tidak sama sekali !


RINDU

Ya, rindu benar rasanya untuk mengemas kini entri dan blog. Bersawang pula blog tanpa entri, bukan!

KONVO ABANG

Jangan salah sangka. Jangan salah tafsir. Bukan konvo ‘abang’ tapi abang sendiri lah! Aku, adik dan nenek setia menunggu bus di stesyen bus Sungai Petani. Demi melihat abang menerima segulung ijazah di majlis konvokesyen, semestinya menjadi hari bermakna dalam hidupnya. Kasihan abang! Ya, abah tak ikut. Namun, abah tetap wakilkan aku dan adik untuk bersama-sama di hari bahagia abang. Malam itu, kami tiba di Hentian Duta. Sabar menunggu abang menjemput kami. Sebelum bermalam di rumah bujangnya, kami singgah makan. Berhampiran dengan Kampung Baru. Oh, itulah Kampung Baru, aku bermonolog. Sedih sebenarnya, melihat nenek bersusah payah demi abang. Sebak di dada memang terasa. Sendi dan tulang di lutut nenek amat terbatas, meluluhkan rasa. Tak mampu bergerak bebas. Bergetar satu rasa entah dari mana. Tiba di rumah bujang abang, terkesimaseketika. Alangkah terharu. Keadaan sekeliling yang serbakurang. Dapar tanpa gas. Meja tanpa alas. Bilik tanpa katil. Ruang tanpa bebas. Kecil cuma. Luasnya mungkin sedepa besar daripada bilik kolejku. Itulah flat yang pernah aku duduki suatu ketika aku masih belum mengenal erti dunia. Kini, menjadi tempat berteduh sementara untuk abang yang bekerja jauh dari kampung halaman. Mungkin menjadi pendorong untuk abang menggapai cita-cita dan impian. Biarpun tidak diungkap dengan lidah, aku dapat mencerap perasaannya yang begitu kental dan tabah. Kagumi aku dalam diam. Paginya, bersiap-siap untuk ke PICC di Putrajaya. Majlis konvokesyennya di sana. Tahniah, abang. Semoga terus berjaya bukan hanya di dunia, malah akhirat juga. Tunangnya juga turut ada. Konvo pada waktu dan tempat yang sama. Sehari suntuk. Letih bukan kepalang. Seorang demi seorang ke pentas. Sabar aku menunggu nama abang disebut. Tiba akhirnya.

SENDIRI

Alahai, tiba saatnya pulang ke kampus demi kerja dan tanggungjawab. Amanah yang digalas harus dijaga. Redaksi Majalah UKM. Surat-surat. Rencana dan artikel. Temubual dan wawancara. Semuanya setia menunggu di UKM. Pulang akhirnya di kolej Ibrahim Yaakub. Meniti hari demi hari bersama gerak kerja Redaksi di kolej Aminuddin Baki. Sangat teruja sebenarnya. Minat. Seminggu lamanya. Tak sedar masa berlalu dek Redaksi dan analisis data untuk Latihan Ilmiah. Alhamdulillah, nampak progress memuaskan hati ini. Setidak-tidaknya, aku memanfaatkan cuti semester kali ini dengan jayanya, barangkali. Sebelum meniti awan ke Bandung, aku dapat siapkan beberapa tugasan. Harus komited. Belajar dan belajar perkara baharu. Bukankah, belajar itu tiada had masa, malahan hingga ke liang lahat.

REMINDER

Dalam tempoh yang begitu singkat sebelum meniti awan, jangan dilupa tugasan UKM, Dunia Inspirasiku dan Rencana Khas: Klinik Guaman UKM yang harus diselesaikan. Juga Latihan Ilmiah yang harus diteliti dari semasa ke semasa. Temubual bersama Felo Utama, Prof. Siti Naaishah Hambali, esok bersama wartawan Shima dan Dayah. Nazman dan jurufoto Ai'zat Na'im tidak ketinggalan ikut serta. semoga urusan berjalan dengan lancar. 

Diharap aku selamat pergi dan pulang meniti awan. Insya-Allah. 

Sekembali nanti, debaran result kian terlerai. 

Aduhai Pena Kiri.

Thursday, February 2, 2012

Tak seindah rupa


JEMAAH LEBIH AFDAL

Angin petang berarak pulang. Gumpalan awan menyembunyikan diri. Ufuk merah mula kelihatan. Indahnya ciptaan-Nya.
Beberapa ketika,
Allahu Akbar Allahu Akbar...
Azan bergema menunjukkan masuknya waktu solat magrib. Seperti biasa, bersiap-siap untuk solat magrib secara berjemaah. Berimamkan abah. Kadangkala, adik yang mengimamkan aku. Bak kata Ustaz Azhar Idrus, nak 1x atau 27x; nak RM1000 atau RM27 000? Bukankah lebih BAIK berjemaah berbanding solat bersendirian?
Usai membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan solat Isya’, aku menuruni tangga untuk panaskan lauk tengahari yang masih elok untuk makan malam. Tok mama (tok sebelah Allahyarhamah mama) ada di rumah sekali.
Lama tidak bertemu, rindu pun bertamu.

TAK SEINDAH RUPA

Sambil masing-masing berehat di ruang tamu, memberi ruang kepada perut mencernakan apa yang ada. Bukan menCURI dengar, hanya TERdengar dialog-dialog orang tua bersembang. Aku hanya menCERNA  subjek dan predikat yang penting-penting di dalam lautan minda lalu meMUNTAHkan dalam bentuk tulisan pula. (berfikir, menganalisa dan bertindak)
Itu yang dirunsing Si Abah, Majlis Walimatul Urus  yang makin hampiri menggusarkan hati. Dalam konteks ini, bermaksud ALIRAN MASUK KELUAR berpuluh-puluh dan mungkin beratus-ratus  keping Ringgit Malaysia yang akan DIPEROLEH DILABURKAN untuk keperluan tersebut. Keperluan apa? MAJLIS PERKAHWINAN!
Majlis perkahwinan, ada kalanya Tak Seindah Rupa. Memakan belanja yang agak besar. Walau siapa-siapa yang mengalami masalah kewangan, tentu fahami perasaan  tekanan hebat yang menyesakkan. Al-maklumlah, sebelah pengantin lelaki, tentu dapat gambarkan lingkungan kos dan perbelanjaan. Mas kahwin! Hantaran! Pelamin! Catering (tak seperti kampung- semangat muhibbah gotong-royong untuk majlis kenduri dan sebagainya) dan macam-macam lagi keperluan lain. Oh, benar. Tak seindah rupa.
Kesian Abah. Kenduri makin dekat. Adik yang tunggu result SPM, pada waktu yang sama. Aku lagi. Andai dapat ku beri segala yang termampu & terbaik untukmu suatu hati nanti. aku bantu. Insya-Allah.

RUMUSAN

Aku belajar berjimat HANYA untuk keperluan. Dengan cara itu, aku dapat kurangkan beban 
belanja abah. Kalau suatu hari nanti, aku sudah bekerjaya. Tak banyak sekali pun, aku harap aku dapat hulur untuk meringankan beban itu. Aku tahu. Aku tahu. Aku tahu. Leteran untuk perkara biarpun kecil itu aku anggap sebahagian cara abah meluahkan rasa. Tertekan. Ya, perkataan yang sangat tepat. Aku faham. Aku faham. Aku faham.
Walaupun, kadangkala terkecil hati. aku pujuk sendiri jua.
Tak apa, abah. Hidup kita ibarat pusingan roda. Kadangkala, rendah di bawah. Kadangkala, tinggi di atas. DIA lebih mengetahui. Siapa tahu, perancangan DIA Maha Hebat.

USTAZ DON

Al Fadhil, Ustaz Don Daniyal ke udara di TV Alhijrah 114 mencuri perhatian kelima-lima deria utamaku. Penyampaiannya yang bernas dan bersahaja benar-benar sampai ke dasar hati yang luhur. Tajuk ‘Cinta Rasul’ sempena Maulidur Rasul yang tidak lama lagi begitu menyentuh jiwa. Bayangkan Al Fadhil, Ustaz menyampaikan dengan begitu meruntun jiwa hinggakan takungan jernih beliau bergenang di tubir mata. Allahu Akbar. Jiwa begitu halus dan tulus. Aku sendiri tidak lagi sampai ke tahap itu. Subhanallah. Allahu Rabbi.

AKHIR KALAM

Buat kekandaku tercinta yang bakal mendirikan masjid, semoga dapat membina sebuah keluarga yang ‘sakinah’, ‘mawaddah’ dan ‘rahmah’. Dengan izin-Nya, insya-Allah. Amin. Adinda sentiasa menitipkan doa kebahagian buat kita sekeluarga. Amin. Amin Ya Rabbal Alami.

TARIKH SEBENAR: 1/2/12
LOKASI: TAMAN SEJATI INDAH, SUNGAI PETANI.