BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, March 31, 2011

kasih ibu membawa ke syurga



KASIH KE SYURGA
Tatkala anak kecil lelaki si mama yang sulung masih di awal usia 3 tahun, saratnya mama dengan kandunganmu itu. Kau penat, tapi tanpa suara rungutan. Kau payah, tapi tanpa lagu suara. Kau tersiksa, tapi tanpa bunyi keluhan. Dengan penat itu, dengan payah itu, dengan tersiksa itu, kau melaluinya dengan batu kecekalan dan ketabahan. Kagum aku akan kekuatanmu itu, bergenang air mata melihat kau bersusah payah. Sehingga hadir saat dan ketikanya, 24 Rejab 1409 hiriah muncul jua. Tangisan seorang bayi perempuan itu pertama kalinya kedengaran di muka bumi. Tangisan bayi kecil yang comel itu benar-benar membuatkan mata-mata di sekelilingnya bergenang dengan air mata kesyukuran di celah-celah hiruk pikuk bandaraya Kuala Lumpur itu. Tanda gembira. Qamat dilaungkan oleh si abah ke telinga comel bayi yang masih kemerah-merahan itu. Itulah permulaan kisah si bayi kecil itu. Bayi kecil masih menangis dan terus menangis. Oh, si kecilku sayang. Mengapakah dikau tak hentikan tangisanmu itu. Wanita itu selalu sahaja siap siaga tatkala bayi itu di buaian; tatkala kaku-kaki belum kuat untuk berdiri sendiri; tatkala perut terasa lapar dan haus; tatkala terbangun di awal pagi, siang dan malam. Kepenatan tetap tanpa rungutan; kepayahan tanpa suara; Kepayahan masih lagi tanpa tangisan. Tidak jemu-jemu si mama mengendong-endong bayinya, melayan tangis si bayi sehingga dikau kebuntuan cara mendiamkan si bayi kecil itu. Datang si abah, sedikit rasa kurang sabar dan tahan melihat anak itu terus-menerus mendatangkan satu demi satu kepayahan yang datang. Lalu, si abah menepuk-nepuk punggung si bayi dengan harapan menghentikan tangisan. Si mama dan abah lega tak terkira, akhirkan si bayi kecil mahu diam dan menjaga laku.
Semasa kecil meningkat usia kanak-kanak, dia mula degil dan nakal. Si mama yang masih belum hilang penat mengandungkan dia selama 9 bulan 10 hari, masih lagi menyambung penat itu dengan kedegilan dan kenakalannya di waktu mula panda- mengeluarkan kata-kata. Masih lagi berusaha untuk melentur si rebung sebelum si rebung menjadi buluh. Itulah pepatah orang tua-tua yang sangat mempunyai nilai dan maksud yang tersirat.
Di usia kanak-kanak yang menjangkau 5 tahun, dia mendapat adik kecil lelaki yang begitu comel. Dia selalu mengusiknya manja, inginkan teman untuk bermain. Zaman kanak-kanak yang begitu indah. Dia membesar bersama adiknya. Tanpa abang yang berada di kampung, lagaknya bagai kakak dan anak sulung. Macam-macam ragam dia dan adik. Sememangnya memeningkan kepala si mama. Si abah mencari nafkah untuk keluarga. Si mama masih lagi kepenatan dan kepayahan melayan ragam kanak-kanak aku dan adik. Gaduh dan sengketanya dan adik seperti biasa. Menjadi perkara aneh andai tiada bunyi-bunyi gaduh kecil antara dia dan adik. Namun, biar apapun jua, tawanya tetap ada. Itu pasti. Ketika di bangku sekolah, lain pula cara dan gaya. Hari ini, balik ke rumah dari sekolah, mengadu sakit di sini sana, jatuh rupanya; si mama tega mencari ubat di serata rumah. Esok, balik ke rumah dari sekolah, mengadu ada sengketa dengan kawan. Lusa, balik ke rumah dari sekolah mengadu bergaduh dengan adik di sekolah (tak puas bergaduh setakat di rumah). Seterusnya, balik sekolah terus mengadu ke mama sebab cikgu marah tak siap kerja rumah. Lagi hari seterusnya, mengadu ke mama tiada orang nak kawan dengannya. Setiap hari, ada saja masalah di sekolahnya, si mama senantiasa siap siaga mendengar luahan si anak tanpa bicara. Sayangnya tidak terkira. Walaupun si mama masih lagi kepenatan dari awal kelahiran dia. Semuanya kerana dia. Kepenatan dan pepayahan itu masih lagi tanpa suara. Menganggap ia sebagai satu tanggungjawab dan peran. Si mama sanggup walau tanpa patah dan kata. Itulah jiwa dan hati seorang mama. Begitu tulus dan suci. Benarlah, SYuRGa iTu Di BaWaH TeLaPaK KaKi iBu.
Begitu manja si dia, terkesima seketika dek si abah menyuruh dia memasuki asrama. Di pintu asrama, dia menangis tanpa air mata melihat si abah dan mama bersama-sama kereta tua biru meninggalkan dia. Mengapa tanpa air mata, kerana tangisannya hanya di hati, tidak di mata. Tegar dia. Demi mengejar cita-cita, dia sanggup menurut kata. Kadangkala, si mama dan abah tidak lupa menjenguk anak di hujung minggu, melempiaskan rasa rindu. “Sihat, tidak? Makan minum macam mana? Jimat-jimat duit belanja… Jaga diri, hiasi peribadi” Itu kata-kata biasa di halwa telinganya. Kata-kata nasihat orang tua kepada anaknya. Suatu hari, dia dibuli oleh sang senior dan teman sebaya di asrama. Dia menangis esak seorang diri. Dia ketakutan bercampur sedih. Esok paginya, hari Sabtu. Hujung minggu. Awal bangunnya, usai subuh bergegas mandi dan bersiap dengan senyap. Bergegas si dia ke public phone mendail angka-angka yang terhafal sekian lama. “Mama, nak balik. Kakak-kakak dan kawan buli.” Kata dia dalam tangis. Si mama cemas. Memujuk si abah datang melihat. Dia meluah rasa. Baik nasibnya, ada teman baik di asrama membantunya ketika susah dan senang, ketika suka dan sedu. Masih bersama hingga 5 tahun berlalu.
Usai exam, gembira rasanya. Si abah menyuruh belajar memandu. Sekali lagi, demi kebaikan sendiri, dia tega dalam terpaksa. Si mama menurut taat kata-kata suami. Bukankah syurga seorang isteri di telapak kaki sang suami? Begitu juga dengan syurga si anak di telapak kaki ibu, Sampai waktu, keputusan universiti diumum. Hampa. Air mata si mama mengalir lesu. Hampa. Si anak-anak tanpa mana-mana tawaran universiti. Biar tidak menzahirkan rasa dalam bentuk kata-kata, air mata itu cukup membuktikan segala kehampaan yang terdampar jauh di sudut perasaan. Sang empunya diri masih lagi bersedih. Ke mana harus dituju? Hasrat menjejak menara gading kini hampa. Punah harapan ayah bonda dek dia. Sedih. Sedih lagi. Masih lagi bersedih. Sang abah tak tunjuk rasa hampa. Jelas ternyata kata-kata pembakar semangat di tiang jiwa. Dia masih lagi mencuba. Mencari peluang yang masih bersisa.
Berselindung di balik tirai semua, terdampar rahsia si mama tanpa pengetahuan si anak. Penderitaan dan sakit disepi seorang diri. Tak mahu anak-anak dan suami berasa beban atau sedih. Terungkai jua akhirnya. Tatkala sedang berusaha untuk menapak nama di Tingkatan Enam, si mama bertarung nyawa sendiri. Gelisah dia. Perasaan bercampur baur lagi berkecamuk. Al-Fatihah dan surah Yassin tidak putus-putus dia kirim sepanjang si mama bertarung nyawa, koma seminggu dua. Harus kuat si dia untuk menghadapi semua ini. Semua dariNYA tentu terselit hikmah yang tersembunyi. Qadha dan Qadar ilahi harus diterima sebagai seorang muslim. Rukun iman ke-6 itu diterima dia dengan hati yang rela. Dia hanya menguji hambaNYA yang benar-benar dapat menghadapi ujianNYA. PASTI.
Beberapa tahun pemergian si mama, dia tetap cuba sedaya upaya mengharung segala badai yang menimpa; biar sebak mengenangkan masa lalu yang tak mungkin akan kembali lagi. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan; pantai mana tidak ditimpa gelora; gurun mana tiada tandusnya. Hanya kenangan yang hidup dalam dirinya. Kenangan yang menjadi pembakar semangatnya untuk terus hidup dan berjuang dengan kuat, dengan tabah, dengan baik dan sempurna. insyaallah, mudah-mudahan si mama selamat di alam sana. Doa dan ayat-ayat suci sahaja yang mampu dikirim pengubat rindu dan membalas jasa si mama walaupun tiada tanding nilai pengorbanan itu. Si mama melihat anaknya membesar dari kecil tapak tangan sehingga ke alam sekolah tinggi;
SEBENARNYA, DIA ITU ADALAH AKU.
Alangkah bahagianya andai dapat mama sempat melihat aku merenteti hidup di alam varsiti ini. Itulah satu-satunya harapan semasa hayatnya iaitu untuk melihat aku berjaya mengorak langkah bertarung di alam varsiti. Aku tahu andai mama tahu aku berjuang di sini, tentunya beliau bangga aku di sini; walaupun genggaman segulung ijazah ku suatu hari nanti tanpa dirimu, tetapi dikau selalu ada, tersemat kukuh di hati, perasaan dan ingatanku selepas Allah dan rasulNYA.
Didikanmu dari kecil hingga dewasa saat ini benar-benar mendewasakan aku Sebakan di dada mengenang segala. Itulah harga yang perlu aku bayar. Mengenang dosa nan silam kepadamu, membuat aku terpempan. Andai dapat ku kembalikan masa, aku akan taat setiap perintah dan kata. Akan ku balas pengorbananmu walau mungkin secebis balasan itu tak dapat menandingi segala.
Kau selalu ada untuk memberi perhatian, bila aku sakit; bila aku terjatuh; bila aku menangis; bila aku kesepian. Wajahmu tergambar di setiap ruang ingatan aku; terbayang wajahmu di waktu tidur. Ada sinar yang penuh keredhaan; penuh kesabaran; penuh kasih dan sayang, juga sinar lelah kerana aku.
Teringat di kala dikau menangis kerana aku; sedih kerana aku; derita kerana aku; kurus kerana aku; korbankan segala untuk aku. Segala jasa tak terbalas olehku; tak terbeli olehku; tiada akhir dan tara. Hanya tangisku sebagai saksi atas rasa CINTAku kepadamu.
Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah selama-lamanya.
Kini, mohon aku kepadaNYA agar dihapus segala dosa. Moga senantiasa di bawah lembayung inayahNYA...
PENA KIRI
31 MAC 2011
12:05AM (KHAMIS)
BILIK 15-226 KOLEJ KERIS MAS, UKM
BANGI



0 comments: